
PETALING JAYA: Pihak bertanggungjawab mempertimbang dan meluluskan keputusan menggugurkan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam institusi pendidikan swasta perlu dikenal pasti dan dijelaskan.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, penjelasan mengenai pihak berkuasa yang membuat keputusan itu perlu dijelaskan bagi memastikan proses pembuatan dasar kerajaan telus.
Katanya, persoalan tersebut timbul susulan perbezaan penjelasan antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“KPM pada 21 September lalu menyatakan keputusan itu dibuat susulan sesi perbincangan dengan MITI.
“Bagaimanapun, pada 22 September lalu, MITI menjelaskan kementerian itu tidak mempunyai makluman mengenai penyelarasan tersebut dan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera berada bawah Kementerian Ekonomi.
“DPMM berpandangan perbezaan penjelasan berkenaan perlu diperjelaskan segera, termasuk kementerian dan agensi yang dirujuk serta proses libat urus yang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, sebarang keputusan berkaitan pemansuhan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera bagi institusi pendidikan swasta perlu terlebih dahulu melalui Kabinet kerana perkara itu membabitkan keputusan kerajaan secara bersama sejak 2009.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara cermat memandangkan ia berkait rapat dengan agenda pemerkasaan bumiputera yang kekal menjadi komitmen kerajaan.
Tambah Norsyahrin, kerajaan juga perlu menjelaskan data dan penilaian impak yang digunakan sebagai asas sebelum penyelarasan syarat pemilikan tersebut dibuat.
Katanya, keperluan itu penting kerana agenda pemilikan ekonomi Bumiputera masih belum selesai, dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang merekodkan kadar pemilikan ekuiti sebanyak 18.4 peratus.
“Kadar itu direkodkan pada 2020, manakala kerajaan menyasarkan pemilikan ekuiti Bumiputera meningkat kepada 30 peratus menjelang 2035 melalui PuTERA35.
“Sehubungan itu, DPMM mempersoalkan pengguguran satu mekanisme penyertaan ekuiti berkenaan tanpa penjelasan mencukupi mengenai mekanisme alternatif yang akan menggantikannya.
“DPMM turut menggesa kerajaan menjelaskan skop institusi pendidikan swasta terlibat, tarikh kuat kuasa, proses penyelarasan serta mekanisme alternatif bagi memastikan penyertaan Bumiputera tidak terhakis.
“Selain itu, DPMM bersedia untuk terlibat dalam sesi libat urus bersama KPM, Kementerian Ekonomi, MITI dan agensi berkaitan bagi membangunkan penyelesaian yang seimbang,” katanya. – UTUSAN
The post Siapa sebenarnya lulus gugur pemilikan 30% ekuiti bumiputera? -DPMM appeared first on Utusan Malaysia.






