Pembangunan Matrix Concepts di Kluang cetus minat pembeli 

2 Sep 2026 • 4:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pembangunan Matrix Concepts di Kluang cetus minat pembeli 

PETALING JAYA: Pembangunan Bandar Seri Impian 2 (BSI2) di sini mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 200 bakal pembeli rumah menghadiri Sesi Eksklusif Pengenalan BSI2 yang diadakan pada 30 Ogos lalu.

Sesi berkenaan yang berlangsung sempena Sambutan Malaysia Kita di X Park Bandar Seri Impian memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan gambaran awal mengenai konsep, perancangan dan tawaran gaya hidup yang bakal diketengahkan menerusi pembangunan baharu itu.

Selain pembentangan khas mengenai BSI2, pengunjung turut diberi pendedahan berkaitan perancangan kewangan bersama Maybank, reka bentuk dalaman dan pendaftaran iDSaya.

Sesi rundingan secara bersemuka bersama panel pembiaya turut diadakan bagi membantu bakal pembeli memahami pilihan pembiayaan serta proses pembelian rumah, manakala pendaftar awal ditawarkan pelbagai keistimewaan, insentif dan hadiah.

Matrix Concepts berkata, sambutan yang diterima menunjukkan daya tarikan BSI2 semakin meluas, bukan sahaja dalam kalangan penduduk Kluang tetapi juga masyarakat dari kawasan sekitarnya.

“Previu Eksklusif ini memberi kami peluang untuk berhubung dengan keluarga serta berkongsi lebih lanjut mengenai BSI2 dan segala yang kami sedang bina untuk komuniti.

“Pembukaan Extreme Park, pasar raya besar yang akan datang serta kerja-kerja menaik taraf Lake Park seluas 13.5 ekar merupakan antara elemen penting dalam konsep perbandaran berteraskan komuniti kami,” katanya dalam kenyataan.

Menurut pemaju perumahan itu, konsep berkenaan direka bagi mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih meriah, saling berhubung dan menyeluruh untuk penduduk.

“Kawasan tangkapan bakal pembeli turut menunjukkan perkembangan positif apabila pendaftaran awal bukan sahaja diterima dari Kluang, malah turut melibatkan Yong Peng, Batu Pahat, Simpang Renggam dan mereka yang bekerja di Johor Bahru.

“Ini menunjukkan penerimaan dan daya tarikan yang kukuh terhadap konsep perbandaran baharu kami dalam kalangan komuniti sekitar, sekali gus mengukuhkan keyakinan kami terhadap BSI2,” katanya.

BSI2 yang merangkumi kira-kira 309 ekar merupakan pembangunan baharu bagi memperluaskan Bandar Seri Impian, sebuah perbandaran yang kini mempunyai lebih 7,000 unit kediaman siap dengan anggaran populasi seramai 25,000 penduduk.

Fasa pertama BSI2, Mayfair, akan memperkenalkan 213 unit kediaman membabitkan rumah teres satu dan dua tingkat yang direka bagi memenuhi keperluan isi rumah, gaya hidup serta pelbagai peringkat pemilikan rumah.

Kediaman tersebut menggabungkan susun atur berorientasikan keluarga dengan ciri seni bina berinspirasikan Inggeris yang turut diterapkan pada landskap jalan dan persekitaran pembangunan.

Konsep itu dilengkapi landskap yang dirancang dengan teliti, kehijauan serta ruang komuniti bagi mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih harmoni dan selesa.

Matrix Concepts berkata, momentum pendaftaran awal yang menggalakkan turut memberikan petunjuk positif terhadap penerimaan pasaran terhadap pembangunan berkenaan.

Susulan perkembangan itu, syarikat berkenaan sedang mengkaji semula tempoh perancangan dan persediaan bagi fasa seterusnya, termasuk kemungkinan mempercepatkan tahap kesediaannya bagi memenuhi permintaan pasaran.

Bakal pembeli yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai BSI2 boleh mengunjungi Galeri Pop-Up BSI2 di X Park Bandar Seri Impian.

Galeri berkonsepkan kotej berinspirasikan Inggeris itu memberikan gambaran awal mengenai karakter dan elemen pembangunan BSI2, selain membolehkan pengunjung meneroka konsep perbandaran serta tawaran kediaman dan berinteraksi dengan pasukan jualan. – UTUSAN

The post Pembangunan Matrix Concepts di Kluang cetus minat pembeli  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved