Pemilik Rocky Akui Tiada Lesen Namun Mahu Siasatan Telus Dijalankan

6 Aug 2026 • 10:26 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Isu kematian seekor anjing yang dikenali sebagai Rocky ketika operasi tangkapan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pelabuhan Klang masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.

Apatah lagi semalam (5 Ogos), wanita yang didakwa merupakan pemilik haiwan berkenaan tampil membuat sidang akhbar memberi penjelasan mengenai isu terbabit di Rogue@Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Pemilik Rocky Harap Siasatan Dijalankan Secara Telus, Serah Sepenuhnya Kepada Pihak Berkaitan

Pemilik Rocky yang dikenali sebagai Rohini Devi menjelaskan dia berharap agar siasatan berhubung isu tular itu dapat dijalankan secara telus agar punca sebenar insiden berkenaan dapat dirungkai serta keadilan diberikan kepada keluarganya.

Jelas Rohini, dia memilih untuk tidak mengulas isu berkenaan di luar proses siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya tidak mahu pergi ke sana sini. Saya tunggu laporan DVS. Bila laporan itu keluar, saya harap keadilan dapat diberikan kepada Rocky,” katanya yang dipetik dari Kosmo.

Pemilik Rocky Kongsi Cerita Dari Pihaknya Namun Akui Tiada Lesen

Berkongsi kisah mengenai insiden itu, Rohini menjelaskan dia pulang ke rumah selepas diberitahu oleh orang ramai bahawa Rocky telah ditangkap.

Tambahnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia mendapati haiwan peliharaannya itu sedang dijerut sebelum dia berusaha mendapatkan Rocky.

Kongsi Rohini lagi, dia telah berkali-kali memberitahu individu yang berada di lokasi kejadian bahawa Rocky mempunyai pemilik.

Malah, dia sendiri sanggup menyerahkan anjing peliharaannya itu kepada pihak berkuasa.

“Saya kata kalau mahu ambil Rocky, saya sendiri boleh bawa dia. Saya mengaku Rocky tiada lesen, tetapi saya merayu banyak kali supaya mereka lepaskan jerutan itu,” ujarnya.

Namun dakwa Rohini, rayuannya itu tidak diendahkan. Malah, dia juga cuba untuk memotong jerutan terbabit menggunakan pisau selepas meminta anaknya mengambil gunting namun gagal dek kerana tali yang terlalu keras.

Dakwanya lagi, pegawai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tiba di lokasi beberapa minit kemudian namun ketika jerutan dibuka, Rocky sudah tidak bernyawa lagi.

Jelas Rohini, dia berharap agar siasatan yang dijalankan dapat menjelaskan gambaran sebenar kejadian serta memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Image from: Pemilik Rocky Akui Tiada Lesen Namun Mahu Siasatan Telus Dijalankan
Foto: BK/Shah

Kertas Siasatan Telah Dirujuk Ke Timbalan Pendakwa Raya – Jabatan Veterinar Negeri Selangor

Dalam pada itu, Jabatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Negeri Selangor) dalam satu hantaran di Facebook menjelaskan kertas siasatan berhubung insiden ini telahpun dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk semakan dan penelitian.

“Beberapa cadangan berhubung dengan hasil siasatan kes ini turut dikemukakan oleh JPV (DVS) Selangor kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Tindakan selanjutnya akan diambil oleh JPV Selangor setelah arahan lanjut diperolehi dari Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Oleh itu, JPV Selangor menyeru orang ramai untuk kekal bertenang dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mengikut proses undang – undang,” tulis mereka.

Malah, JPV Selangor turut memberi jaminan bahawa siasatan kes ini akan dijalankan secara telus dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“JPV Negeri Selangor juga sekali lagi ingin memberikan jaminan bahawa siasatan kes ini dibuat secara telus dan adil serta tidak dipengaruhi sama sekali dengan pandangan dan kenyataan bebas yang dibuat oleh pihak – pihak yang tidak berkaitan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

“Sebaliknya, siasatan yang dijalankan oleh JPV Selangor adalah berdasarkan kepada fakta dan keterangan yang ada selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” jelas mereka lagi.

Perkara sama turut dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan khianat dengan membunuh haiwan.

Sebelum ini, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain menjelaskan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika tangkapan anjing liar yang mengakibatkan kematian Rocky.

Sebaliknya, insiden dipercayai berlaku selepas seorang individu yang mengaku sebagai pemilik haiwan berkenaan mengganggu operasi menyebabkan berlaku perebutan yang akhirnya mengakibatkan haiwan itu terjerut.

Baca Artikel Berkaitan: Isu Kematian Anjing Rocky: Cerminan Sistem Yang Tidak Berperikemanusiaan – Lee Lam Thye

Baca Artikel Berkaitan: “Tiada Pelanggaran SOP”- Kes Anjing Mati Terjerut, MBDK Tampil Beri Penjelasan

Baca Artikel Berkaitan: Isu Kematian Anjing Rocky: Mekyun Mohon Maaf, Terlalu Cepat Buat Kesimpulan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved