Penangguhan SST: Malaysia bakal hilang hasil RM730 juta sebulan - BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
30 Apr 2025 • 9:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penangguhan SST: Malaysia bakal hilang hasil RM730 juta sebulan - BIMB Securities

image is not available

30/04/2025 - 09:46

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 April - Malaysia bakal terlepas peluang mengutip RM730 juta pada Mei 2025 selepas kerajaan mengambil keputusan menangguhkan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kata BIMB Securities.

Katanya, perkara itu digabungkan dengan unjuran harga minyak global yang lebih rendah, dijangka menjejaskan sasaran hasil kerajaan persekutuan sebanyak RM339.7 bilion bagi 2025.

Firma penyelidikan itu menganggarkan kutipan hasil akan menjadi lebih rendah, iaitu sebanyak RM336.9 bilion bagi tahun ini.

“Ramalan itu adalah berdasarkan faktor pendapatan lain kekal tidak berubah," katanya dalam satu nota kajian.

BIMB Securities berkata, penangguhan peluasan SST bagaimanapun dijangka memberikan rangsangan jangka pendek kepada perbelanjaan pengguna pada Mei.

Kerajaan sebelum ini menganggarkan peluasan SST akan menjana tambahan RM5 bilion hasil sekiranya ia dilaksanakan pada Mei 2025. Namun, pelaksanaannya yang pada asalnya dijadualkan pada 1 Mei telah ditangguhkan ke tarikh yang belum ditentukan, dengan pewartaan semula dijadualkan pada 1 Jun.

Pelan tersebut termasuk kenaikan cukai jualan ke atas barangan bukan keperluan mewah import seperti salmon dan avocado. Cukai perkhidmatan juga akan diperluas untuk merangkumi transaksi perniagaan-ke-perniagaan, khususnya perkhidmatan berasaskan yuran yang sebelum ini dikecualikan.

Apa yang lebih membimbangkan kerajaan daripada penangguhan peluasan SST, menurut BIMB Securities, adalah kejatuhan harga minyak global, kerana setiap penurunan satu dolar AS boleh mengurangkan hasil fiskal Malaysia sebanyak RM300 juta hingga RM350 juta.

Namun begitu, harga minyak yang lebih rendah juga akan mengurangkan perbelanjaan operasi kerana bil subsidi bahan api akan mengecil pada masa kerajaan merancang untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi RON95 pada separuh kedua 2025.

“Daripada RM12 bilion untuk 85% populasi, kerajaan hanya akan membelanjakan RM7.5 bilion bagi subsidi bersasar RON95,” katanya.

Dengan penangguhan peluasan SST dan penurunan harga minyak, BIMB Securities menjangkakan defisit fiskal akan bertambah baik sedikit kepada 3.76%, berbanding sasaran asal kerajaan sebanyak 3.8%, kata firma penyelidikan itu.

BIMB Securities menyemak semula unjuran harga minyak mentah Brent kepada AS$68 (RM294.27) setong berikutan unjuran ekonomi global yang lebih lemah, berbanding unjuran kerajaan sebanyak AS$75–AS$80 setong di bawah Belanjawan 2025.

Sekiranya RON95 diapungkan sepenuhnya menjelang Julai 2025, harga pasaran bahan api itu dianggarkan sekitar RM2.54 seliter, katanya.- DagangNews.com

featured standard