Pendaki Ditemui Maut Di Gunung Liang, Polis Tahan 2 Malim Gunung

17 Oct 2025 • 2:40 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Semalam (16 Oktober), kecoh di media sosial berita mengenai seorang lelaki yang ditemui maut selepas dilaporkan hilang sejak dua hari lalu ketika mendaki Gunung Liang, Tanjung Malim, Perak.

Menurut Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, mangsa yang dikenali sebagai Mustaqqeem Mansoor ditemui kira-kira jam 3.30 petang semalam (16 Oktober).

Jelas Shazlean, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 14 Oktober lalu sekitar jam 10.30 malam di puncak Gunung Liang dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.

Allahyarham dilaporkan hilang sewaktu melakukan pendakian bersama 10 orang rakan dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, Perak.

Apa yang menjadi perhatian adalah misteri kehilangannya menyebabkan ramai yang mempersoal bagaimana pihak penganjur termasuk Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang terdiri daripada lead dan sweeper boleh meninggalkan mangsa sendirian.

2 MGP Ditahan Polis, Masuk Hutan Simpan Tanpa Permit Libatkan Sempadan Di Negeri Perak

Terbaharu, polis telah menahan dua orang Malim Gunung (MGP) susulan insiden yang menimpa mangsa.

Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari, penahanan dua individu yang berusia 40-an itu dilakukan sebaik pihaknya menerima laporan dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit melibatkan sempadan negeri Perak.

Jelas Mohammad Azlin, kumpulan pendaki terbabit yang dipimpin oleh dua orang MGP berkenaan hanya memperolehi permit memasuki hutan simpan dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana memulakan pendakian di kawasan Bentong, Pahang.

“Kumpulan pendaki ini naik daripada sebelah Pahang di Bentong namun mereka turun di sebelah Perak di daerah Muallim.

“Jadi tangkapan terhadap dua malim gunung ini kerana mereka ada permit memasuki hutan simpan semasa di kawasan Pahang namun sebaliknya mereka turun dan memasuki kawasan hutan simpan di Perak iaitu sebelah Muallim.

“Jadi mereka memasuki kawasan hutan simpan di Perak tanpa permit. Tangkapan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak atas kesalahan memasuki atau berada di kawasan hutan simpan tanpa permit atau kelulusan yang sah,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Malim Gunung Sudah Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

Walau bagaimanapun, Mohammad Azlin menjelaskan dua malim gunung berkenaan telahpun dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan dijalankan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

“Sepatutnya mereka turun di daerah yang sama tempat mereka naik untuk ianya tak menjadi kesalahan, tetapi bila kumpulan itu turun di sebelah Muallim (Perak), maka mereka dikira memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit,” jelasnya lagi.

Untuk info, selain Bomba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dilaporkan hilang melibatkan 22 orang anggota dari pelbagai agensi antaranya seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Sebelum ini, tular hantaran seorang pengguna Threads yang dipercayai rakan kepada isteri Allahyarham Mustaqqeem yang berkongsi mengenai kehilangan beliau.

Menerusi perbualan Nurul Syazana bersama isteri kepada Allahyarham yang dikenali sebagai Fatin (aten), arwah sepatutnya turun pada hari Isnin (13 Oktober) namun tidak pulang selepas beberapa hari.

Tambah Nurul Syazana lagi, arwah Mustaqqeem mendaki Gunung Liang sebagai persediaannya untuk mendaki gunung di Nepal pada hujung tahun ini.

image is not available

Baca Artikel Berkaitan:

Source: