liza11/08/2026 - 10:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos – TA Securities mengekalkan saranan “Beli” terhadap ICT Zone Asia Bhd dengan harga sasaran RM0.31 sesaham didorong jangkaan pertumbuhan pendapatan dan keuntungan yang berterusan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu mengekalkan anggaran keuntungan bersih ICT Zone pada RM22.9 juta bagi tahun kewangan 2027 (FY2027) dan RM26.8 juta bagi FY2028, manakala keuntungan bersih diunjurkan meningkat kepada RM33.6 juta pada FY2029 berbanding RM16.1 juta pada FY2026.
“Hasil kumpulan pula dijangka meningkat daripada RM187 juta pada FY2026 kepada RM252.8 juta pada FY2027, RM291.2 juta pada FY2028 dan RM357.3 juta pada FY2029.
“Kami terus menyukai ICT Zone berikutan pendapatan berulang yang disokong kontrak, model pelbagai kitar hayat yang membantu meningkatkan margin dan kecekapan modal, serta manfaat daripada agenda pendigitalan kerajaan yang berterusan,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Kontrak Baharu Jadi Asas Pertumbuhan
Bagi FY2026, ICT Zone memperoleh kontrak baharu bernilai RM73.2 juta menerusi perniagaan pembiayaan teknologi (TechFin), melibatkan penyewaan komputer riba, komputer meja, pencetak, projektor dan pelbagai peranti berkaitan kepada agensi kerajaan.
Antara kontrak berkenaan ialah RM17.3 juta daripada Juricco Holding Sdn Bhd, RM27.8 juta daripada Haynik Holding Sdn Bhd dan RM28.1 juta daripada MRA International Sdn Bhd.
Selain itu, ICT Zone meraih kontrak baharu bernilai RM66.1 juta menerusi perniagaan perdagangan, menjadikan keseluruhan kontrak baharu yang disenaraikan bagi FY2026 sebanyak RM139.3 juta.
TA Securities mengunjurkan nilai kontrak baharu ICTZONE meningkat kepada RM200 juta pada FY2027, RM250 juta pada FY2028 dan RM300 juta pada FY2029, yang dijangka terus menyokong pertumbuhan pendapatan berulang kumpulan.
Firma itu menjangkakan pertumbuhan kontrak berkenaan akan menyokong peningkatan pendapatan berulang ICT Zone, selaras dengan model perniagaan kumpulan yang memberi tumpuan kepada penyewaan dan pembiayaan aset teknologi.
GPU Dan Sewaje Buka Ruang Pertumbuhan Baharu
ICT Zone juga bakal melancarkan perkhidmatan unit pemprosesan grafik (GPU) sebagai perkhidmatan (GPU-as-a-Service) bulan ini dengan pesanan awal GPU NVIDIA siri 6,000 telah dibuat.
Berbeza dengan cip berkelas tinggi seperti B300 dan H200 yang digunakan oleh pusat kecerdasan buatan (AI) berskala besar, GPU siri 6,000 membolehkan ICT Zone memulakan perniagaan baharu itu pada skala lebih kecil dan mudah diakses.
Pada peringkat awal, kemudahan tersebut akan ditempatkan secara kecil-kecilan di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor melalui rakan kongsi pusat data tempatan yang mempunyai keupayaan menyokong GPU siri 6,000.
ICT Zone menyasarkan syarikat yang mahu memastikan data sensitif mereka kekal di bawah kawalan sendiri dan tidak menggunakan kemudahan awan awam seperti Microsoft Azure dan Google Cloud.
Perkhidmatan GPU itu akan ditawarkan dalam beberapa bentuk, termasuk sewaan, pajakan, langganan dan perkhidmatan terurus.
Bagi platform Sewaje pula, kira-kira 30 unit telah didaftarkan setakat ini berbanding sasaran 10,000 unit dalam tempoh setahun, dengan hasil dianggarkan sekitar RM900 bagi setiap unit setahun dan margin kasar disasarkan kira-kira 15%.
ESG Lengkapkan Strategi ICT Zone
Pelaksanaan Sewaje masih dilakukan secara terkawal dalam radius 5 kilometer yang meliputi 41 sekolah dan kolej, dengan jumlah sasaran sekitar 25,000 hingga 30,000 pelajar.
TA Securities berkata ICT Zone mahu menguji sistem kawalan kredit pada skala kecil terlebih dahulu, termasuk had maksimum tiga unit bagi setiap isi rumah, tempoh bertenang selama sebulan dengan pemulangan deposit serta kutipan bayaran secara debit automatik sebelum mengembangkan platform itu secara nasional.
“Dalam masa sama, ICT Zone meneruskan usaha membangunkan perkhidmatan pengkomputeran neutral karbon (Carbon Neutrality Computing Services atau CNCS), yang menggabungkan penyewaan peranti dengan pengimbangan karbon yang disahkan pihak ketiga.
“Pengurusan turut terlibat dengan pemain industri berhubung kemungkinan penyertaan dalam inisiatif berkaitan kelestarian, selain meneruskan usaha mendapatkan pensijilan bebas bagi proses baik pulih dan pemulihan semula peralatan,” katanya.
TA Securities mengekalkan harga sasaran RM0.31 bagi ICT Zone berdasarkan nisbah harga kepada keuntungan (PER) sasaran 11 kali terhadap anggaran keuntungan sesaham tahun kalendar 2026, dengan firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran keuntungan bagi FY2027 dan FY2028. - DagangNews.com






