Projek Johor Bahru pacu lonjakan 54.2% hasil pembangunan hartanah Fiamma

24 Nov 2026 • 2:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek Johor Bahru pacu lonjakan 54.2% hasil pembangunan hartanah Fiamma Image from: Projek Johor Bahru pacu lonjakan 54.2% hasil pembangunan hartanah Fiamma sarah24/11/2026 - 14:30 Gambar dari laman web Fiamma Holdings Berhad. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Projek pembangunan bercampur di Johor Bahru menjadi pemacu pertumbuhan segmen pembangunan hartanah Fiamma Holdings Berhad (Fiamma), dengan hasil segmen itu melonjak 54.2% tahun ke tahun kepada RM56.4 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026.

 

Peningkatan hasil daripada RM36.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu turut menyaksikan kerugian sebelum cukai segmen berkenaan mengecil 65% kepada RM2.1 juta berbanding RM6 juta sebelumnya.

 

Fiamma turut menjangkakan projek pembangunan hartanah yang dilaksanakan oleh syarikat bersekutunya di Kuala Lumpur akan memberikan sumbangan tambahan kepada keuntungan keseluruhan kumpulan.

 

Tunai bersih RM174.7 juta sokong pertumbuhan

Setakat 30 September 2026, Fiamma mempunyai tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM278 juta dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM174.7 juta, memberikan fleksibiliti kewangan kepada kumpulan untuk meneruskan inisiatif pertumbuhannya.

 

Nilai aset bersih sesaham kumpulan turut meningkat kepada RM1.54 berbanding RM1.47 pada akhir tahun kewangan sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fiamma, Jimmy Tan Chee Wee berkata, kedudukan kewangan yang lebih kukuh membolehkan kumpulan meneroka peluang pertumbuhan merentasi pelbagai segmen perniagaannya.

 

Selain pembangunan hartanah, Fiamma akan terus memperluas penawaran peralatan elektrik rumah, kelengkapan dapur dan sanitari serta produk perubatan dan penjagaan kesihatan bagi memenuhi perubahan permintaan pengguna.

 

Hasil sembilan bulan meningkat 10.6%

Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26), Fiamma mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 10.6% kepada RM297.5 juta berbanding RM269 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Keuntungan kasar kumpulan meningkat 8.3% kepada RM85.9 juta daripada RM79.4 juta, manakala keuntungan sebelum cukai berjumlah RM38 juta bagi tempoh sembilan bulan dan RM4.8 juta bagi suku ketiga.

 

Segmen perdagangan dan perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan dengan RM236.9 juta, meningkat 3.7% tahun ke tahun dan mewakili 79.6% daripada keseluruhan hasil, selain mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM25.7 juta.

 

Melangkah ke hadapan, Fiamma akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi dan pengurusan kos secara berdisiplin di samping meneroka peluang pertumbuhan dalam segmen perniagaan sedia ada.

 

Fiamma merupakan syarikat bersekutu Chin Hin Group Berhad yang terlibat dalam pengedaran peralatan elektrik rumah, produk penjagaan kesihatan serta pembangunan hartanah kediaman dan komersial. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved