hamden06/10/2026 - 11:55 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt - Kerjaya Prospek Group Bhd (KPG) mencatat kenaikan harga saham lebih 30% setakat tahun ini, didorong kemasukan sulung ke segmen pusat data serta peningkatan ketara kontrak luaran dalam kemenangan kontrak terbaharunya, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan itu mencerminkan perubahan dalam profil perniagaan KPG yang semakin dipelbagaikan, khususnya dengan pengurangan kebergantungan kepada projek daripada pihak berkaitan dan peningkatan pendedahan kepada sektor pusat data.
KPG telah memperoleh rekod kontrak baharu bernilai RM3.4 bilion setakat tahun ini (YTD), dengan tiga bulan masih berbaki, sekali gus meletakkan kumpulan itu di landasan untuk mencapai sasaran kemenangan kontrak RM4 bilion bagi tahun ini.
Kontrak luaran kini menyumbang 61% daripada kemenangan kontrak baharu YTD, meningkat ketara berbanding hanya 19% pada 2024.
Kumpulan itu turut menambah lapan pelanggan baharu tahun ini, termasuk Terasmaju, Sena Letrik, IJM, BRDB, Sunway Majestic, Jati Tinggi serta dua pelanggan berkaitan pusat data.
"Kepelbagaian berkenaan dilihat positif kerana ia mengurangkan tumpuan KPG kepada pelanggan tertentu selain meluaskan kumpulan pelanggan berpotensi bagi penggantian buku tempahan pada masa depan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Phillip Capital berkata, kemasukan ke segmen pusat data turut menjadi perkembangan penting apabila KPG mula bertapak dalam sektor itu pada Julai 2026 menerusi subkontrak bernilai RM53 juta yang meliputi kerja awam, struktur serta kerja asas mekanikal dan elektrikal (M&E) voltan rendah di Lembah Klang.
Pada September 2026, kumpulan itu memperoleh kontrak langsung bernilai RM858 juta, menandakan pengembangan ketara buku tempahan pusat datanya dan berpotensi menjadi batu loncatan kepada peranan lebih besar dalam sektor berkenaan.
Kontrak tersebut meliputi kapasiti teknologi maklumat (IT) sebanyak 60MW, bersamaan RM14 juta bagi setiap MW.
Pasukan khas pusat data
KPG juga telah menubuhkan pasukan khusus yang memberi tumpuan kepada projek pusat data, berasingan daripada pasukan kediaman dan bangunan utamanya, menunjukkan hasrat kumpulan itu untuk mengejar lebih banyak peluang dalam sektor tersebut.
Pada masa sama, pegangan 31% KPG dalam ES Sunlogy, yang tidak dinilai, turut memperluas keupayaan kumpulan dalam bidang M&E dan berpotensi meletakkannya pada kedudukan lebih baik untuk meraih peluang berkaitan pusat data dan semikonduktor.
ES Sunlogy sebelum ini melaksanakan kerja elektrikal bagi beberapa projek KPG termasuk Seri Tanjung Pinang dan Bangsar, selain dianugerahkan subkontrak elektrikal bernilai RM22 juta bagi projek Batu Kawan pada Januari 2026.
Kerjasama antara kedua-dua pihak dalam tender terpilih berpotensi memberikan KPG akses kepada keupayaan M&E ES Sunlogy, sekali gus meluaskan keupayaan kumpulan untuk mengambil projek pusat data dan semikonduktor yang lebih kompleks.
Selain pusat data dan M&E, KPG turut memperluas saluran pembangunan melalui segmen hartanah.
KPG menyelesaikan pengambilalihan 49% pegangan dalam Aspen Vision Land pada 19 Jun 2026 sebelum mengambil alih pemilikan penuh Tanjung Bungah Development pada 3 September 2026.
Keputusan kewangan lebih kukuh 3QFY26
Dari segi prestasi kewangan, hasil 1HFY26 kekal di bawah kadar hasil suku tahunan RM560 juta hingga RM570 juta pada 2025, memandangkan kebanyakan kontrak baharu masih berada pada peringkat awal pelaksanaan.
Namun, KPG dijangka mencatat keputusan 3QFY26 lebih kukuh secara berturutan apabila pelaksanaan projek memasuki bahagian lebih curam dalam keluk-S, sekali gus menyokong peningkatan pengebilan kemajuan.
Pendapatan dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan pelaksanaan projek menuju 2027F, dengan pendapatan teras diunjurkan berkembang 27% pada tahun berkenaan.
Unjuran pendapatan 2026F hingga 2028F dikekalkan, manakala margin bersih dijangka stabil sekitar 11%.
Bagi penilaian, gandaan harga kepada pendapatan (PE) dinaikkan kepada 16 kali daripada 13 kali bagi pendapatan pembinaan 2027F, menghasilkan harga sasaran berdasarkan jumlah bahagian (SOP) lebih tinggi pada RM4.80 berbanding RM4.06 sebelum ini.
Penilaian lebih tinggi itu dilihat wajar berikutan asas pelanggan KPG yang semakin meluas, pengurangan kebergantungan kepada pihak berkaitan serta peningkatan pendedahan kepada segmen pusat data.
KPG kini didagangkan pada PE hadapan 13 kali, berbanding purata sektor pembinaan sebanyak 14 kali, walaupun sahamnya sudah berada dua sisihan piawai di atas purata lima tahunnya.
Syor BELI dikekalkan dengan harga sasaran RM4.80, disokong kemenangan kontrak yang kukuh dan buku pesanan RM5.9 bilion yang memberikan keterlihatan hasil sehingga 2029.
Risiko penurunan utama termasuk penggantian buku pesanan yang lebih perlahan daripada jangkaan, kos bahan mentah yang lebih tinggi, kelewatan projek yang tidak dijangka dan kelembapan pasaran hartanah. - DagangNews.com






