
KOTA KINABALU: Komitmen berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan sokongan Kerajaan Sabah dalam menganjurkan Anugerah Sasterawan Negeri Sabah dan Hadiah Sastera Sabah (HSS) memperlihatkan pendekatan baharu yang lebih komprehensif dalam memartabatkan wacana kebudayaan dan keintelektualan negeri.
Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani berkata penganjuran kali ini amat signifikan, dinamik dan inovatif apabila pengumuman penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah disempurnakan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, manakala pengumuman penerima HSS disempurnakan Ketua Pengarah DBP Malaysia, Datuk Dr Hazami Jahari.
“Tahniah kepada DBP. Komitmen, perubahan dan inovasi yang dilakukan oleh DBP ini meletakkan sastera sebagai ejen diplomasi yang sangat penting. Malah, langkah ini selari dengan gagasan Sabah Maju Jaya yang dirintis oleh Ketua Menteri demi kemajuan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Jasni, seperti yang telah diumumkan, Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ke-5 tahun ini dinobatkan kepada tokoh sasterawan veteran, Datuk Jamdin Buyong.
Mengimbas sejarah pengiktirafan berkenaan, beliau berkata anugerah itu pernah diserahkan kepada Datuk Amil Jaya pada era 1990-an sebelum dihidupkan semula pada 2020 dengan pengiktirafan diberikan kepada Azmah Nordin.
Anugerah itu kemudiannya diteruskan bagi edisi ketiga pada 2022 yang dirangkul Hasyuda Abadi, manakala Jasni sendiri dinobatkan sebagai penerima edisi keempat pada 2024.
“Pengiktirafan kali ini memperlihatkan sumbangan Datuk Jamdin amat relevan serta signifikan dalam konteks perkembangan sastera Sabah, kebangsaan dan serantau.
“Beliau secara berterusan menghasilkan karya berkualiti serta menerima pelbagai hadiah dan anugerah dalam bentuk eceran mahupun buku sehingga kini, yang mewajarkannya dinobatkan sebagai Sasterawan Sabah Ke-5,” ujar Jasni.
Jasni, yang juga Ahli Lembaga Penasihat Perpustakaan Negara Malaysia, turut menghargai peranan media dalam menyediakan wadah penyiaran karya sastera, sekali gus menjadikan sastera sebagai medium diplomasi.
Sebagai contoh akhbar Daily Express secara konsisten menyediakan ruang penyiaran karya sastera setiap minggu. Hasilnya, pada penilaian kali ini, beberapa cerpen nukilan N.R. Rahim, Kims Diwa, Ramlee Jalimin Jainin, Ramlah Janang, Norlie Masrin dan Laila Elok berjaya memenangi hadiah berkenaan.
Bagi genre puisi pula, karya Mohilis, Kims Diwa dan Jelison Jupin yang disiarkan di akhbar tersebut turut menarik perhatian panel juri sehingga merangkul hadiah.
Sementara itu, Jasni turut melahirkan penghargaan kepada DBP dan panel penilai atas pengiktirafan terhadap dua buku beliau, iaitu kumpulan cerpen Eskatologi dan kumpulan esei Karya Prosa Sabah dalam Kritikan, sebagai penerima hadiah kategori A (buku) bagi tahun penilaian kali ini.
Kedua-dua karya tersebut diterbitkan oleh Iris Publishing and Distributor, sebuah penerbit tempatan yang aktif menerbitkan ratusan judul buku sastera dan bukan sastera karya penulis Sabah.
Majlis penyampaian anugerah dan hadiah berkenaan dijangka disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu pada 11 September depan.






