.jpg)
RANAU: Penduduk menggesa pemeriksaan segera dilakukan di Bukit Hampuan, Batu 4 Jalan Mamut, berikutan kebimbangan aktiviti disyaki pembinaan jalan dan pembersihan tanah boleh menjejaskan sumber air yang digunakan beberapa kampung serta kawasan pertanian.
Seorang penduduk, Timothy, berkata aktiviti berkenaan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan kesannya kepada sumber air graviti yang digunakan penduduk Kampung Lukapon, Kampung Lasing dan Kampung Kilimu.
Beliau berkata penduduk turut bimbang terhadap kawasan tadahan air Sungai Mansahaban yang menjadi sumber penting pengairan sawah padi di Mukim Tanah Rata, meliputi kawasan dari Kampung Kilimu hingga Kampung Kituntul.
Katanya, satu anak sungai dipercayai telah dilintasi kerja pembinaan jalan berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan berlaku banjir lumpur sekiranya hujan lebat berterusan.
“Jika hujan lebat, kami bimbang banjir lumpur boleh melanda kampung di bawah. Kampung Kilimu berkemungkinan antara yang terawal terjejas kerana kedudukannya di hilir,” katanya.
Beliau berkata kawasan yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti itu berbukit dengan kecerunan dilaporkan melebihi 25 darjah, sekali gus berisiko menyebabkan hakisan tanah, pemendapan dan aliran lumpur ke Sungai Mansahaban.
Seorang lagi penduduk, Paul Palus Gordon, berkata hujan lebat selama beberapa hari berturut-turut berpotensi menyebabkan banjir lumpur yang serius.
“Jika hujan lebat selama tiga atau empat hari, kami bimbang banjir lumpur besar boleh berlaku. Kampung Kilimu mungkin terjejas teruk kerana kawasan itu berada di hulu Sungai Mansahaban,” katanya.
Paul turut membangkitkan kebimbangan terhadap struktur yang kelihatan seperti jambatan atau lintasan di kawasan berkenaan yang dipercayai boleh menghalang aliran air.
Penduduk mahu pihak berkuasa berkaitan memeriksa struktur itu bagi menentukan sama ada ia boleh mengganggu aliran sungai, khususnya ketika hujan lebat berpanjangan.
Sungai Mansahaban merupakan sumber air penting bagi komuniti sekitar, termasuk untuk pengairan sawah padi dan penternakan ikan.
Timothy menggesa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti jenis aktiviti yang dijalankan serta memastikan langkah perlindungan sewajarnya disediakan bagi melindungi kawasan tadahan air dan komuniti di hilir.
“Kami berharap pemeriksaan dan tindakan sewajarnya dapat dilakukan segera sebelum sebarang kemungkinan kerosakan menjadi lebih serius,” katanya.
Penduduk berkata perlindungan sumber air penting bukan sahaja untuk kegunaan harian, malah bagi sektor pertanian dan mata pencarian penduduk kampung yang terjejas.






