Penduduk terkejut pasir Sungai Pahang berharga

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penduduk terkejut pasir Sungai Pahang berharga

MARAN – Kewujudan mineral kuarza di sebalik hamparan pasir Sungai Pahang mampu menjadi satu kekayaan baharu negeri dan menjadi pemangkin ekonomi setempat khususnya di kawasan Kampung Pesagi, Chenor, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak berkata, kewujudan mine­ral berharga itu perlu dimanfaatkan untuk hasil negeri sekali gus memajukan Chenor dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Saya harap satu kajian terperinci dilakukan terhadap pasir berkenaan dan kalau disahkan mempunyai mineral berharga, maka ia perlu dimanfaatkan dan diproses kerana ia boleh menjana pendapatan kepada negeri.

“Ia sepatutnya diproses kera­na mineral berharga seperti kuarza dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding pasir biasa,” katanya semalam.

Katanya, usaha mengeluarkan pasir kuarza berkenaan amat bertepatan bagi mendalamkan Sungai Pahang yang kini semakin cetek sehingga ada yang sudah membentuk ‘padang pasir’.

Bagaimanapun katanya, beliau berharap pemantauan ketat juga dilakukan terhadap proses me­ngorek pasir bagi mengelakkan tebing runtuh dan sebagainya.

Sementara itu, seorang penduduk, Khairul Nizam Omar, 42, berkata, dia amat terkejut apabila terdapat dakwaan yang me­ngatakan pasir berkenaan mempunyai mineral berharga seperti kuarza.

“Sekiranya terdapat mineral berharga, sepatutnya kerajaan segera melakukan pengorekan kerana selain boleh menjana keuntungan kepada negeri ia boleh mendalamkan sungai yang kini menjadi bagai padang pasir.

“Saya memang tak sangka jika pasir ini dikatakan ada mineral berharga, memang betul boleh buat duit untuk kerajaan sete­rusnya memberi kesan ekonomi kepada kami di sini,” ujarnya.

Semalam Kosmo! Ahad me­laporkan, hamparan putih di Su­ngai Pahang bukan sekadar pasir biasa, namun terkandung mineral bernilai tinggi termasuk kuarza yang digunakan dalam industri dengan harga boleh mencecah sehingga RM3,657 satu tan.

Berdasarkan dapatan dari sudut geologi, mendapan daratan pasir yang ekstrem di sungai berkenaan antaranya disebabkan oleh Hulu Sungai Pahang merupakan kawasan yang kaya dengan batuan granit yang mempunyai kandungan mineral ­kuarza yang sangat tinggi.

Granit ini akan terurai menjadi butiran pasir kuarza yang keras, tidak mudah hancur dan dibawa ke hilir sungai dengan jumlah yang sangat besar dan membentuk daratan pasir baharu.

The post Penduduk terkejut pasir Sungai Pahang berharga appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved