Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui UMNO bersedih susulan keputusan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.
Permohonan berkenaan dapat dipertimbangkan
Menurut Ahmad Zahid, UMNO sebelum ini berharap permohonan berkenaan dapat dipertimbangkan dan keputusan terbaik dapat dicapai terhadap bekas Presiden UMNO itu.
“Kami bersedih dengan keputusan itu. Walaubagaimanapun, kami tetap menjunjung kasih. Kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong.
“Kami merayu agar gunakanlah seluruh kebijaksanaan dan daulat Tuanku untuk membuat keputusan yang terbaik dan kami tetap mendokong Institusi Diraja.
“Kami tetap mendaulatkan Raja-Raja dan kami mengharapkan sesuatu yang terbaik diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,”katanya Ketika ditemui selepas ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang berlangsung hari ini yang turut mempertimbangkan permohonan pengampunan bagi banduan lain.






