Pengampunan Najib tidak jejas komitmen kerajaan banteras rasuah- PM

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 2:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengampunan Najib tidak jejas komitmen kerajaan banteras rasuah- PM

PUTRAJAYA- Kerajaan menegaskan prinsip negara hukum dan komitmen membanteras rasuah tidak akan terjejas susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu tidak bermakna negara perlu tunduk kepada amalan rasuah atau salah guna kuasa yang merugikan rakyat dan negara.

Beliau berkata, pendirian kerajaan dalam memerangi rasuah kekal teguh dan semua kes yang sedang berjalan akan diteruskan mengikut proses perundangan yang ditetapkan.

“Selain daripada itu, saya nak tegaskan, prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat.

“Ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib, hari ini.

Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab beliau adalah memberikan nasihat berkaitan implikasi undang-undang, kestabilan negara serta prinsip negara hukum dalam perkara berkenaan.

Katanya, beliau juga mengambil kira nasihat dan panduan yang dikemukakan oleh Peguam Negara sebelum perkara itu dipertimbangkan.

“Namun akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan keputusan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai perubahan terhadap dasar kerajaan dalam menangani jenayah rasuah.

Menurutnya, semua kes yang melibatkan Najib dan masih berada dalam proses perundangan perlu diteruskan mengikut landasan undang-undang.

“Perkara sama turut terpakai kepada kes-kes rasuah lain tanpa mengira individu yang terlibat. Jadi saya nak tegaskan, semua kes-kes sama ada yang terlibat kes Datuk Seri Najib yang sedang berjalan harus berjalan ikut landasan. Begitu juga kes-kes lain dalam soal rasuah,” katanya.

Anwar berkata, negara perlu diselamatkan daripada budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang boleh menjejaskan integriti institusi serta keyakinan rakyat.

“Negara ini mesti diselamatkan dan kita perlu ketegasan dan dukungan semua rakyat dalam menentukan ini negara hukum.

“Negara ini tidak lagi anggap ringan apa-apa salah laku ataupun salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana pemimpin atau mana-mana rakyat. Ini pendirian kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pengampunan Najib tidak jejas komitmen kerajaan banteras rasuah- PM appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved