liza12/08/2026 - 11:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos – Phillip Capital menaikkan harga sasaran 12 bulan bagi HE Group Berhad kepada RM1 daripada RM0.73 dan menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) syarikat bagi 2026 hingga 2028 sebanyak 6% hingga 25% berikutan prospek tempahan kerja yang semakin kukuh.
Phillip Capital mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap HE Group dengan firma itu melihat penilaian saham syarikat masih belum mencerminkan sepenuhnya pemulihan keuntungan yang dijangka berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Berdasarkan unjuran baharu itu, keuntungan bersih HE Group dijangka meningkat kepada RM18.4 juta pada 2026, RM24.5 juta pada 2027 dan RM27.8 juta pada 2028, berbanding RM11 juta yang dicatatkan pada 2025.
Pada masa sama, hasil HE Group diunjurkan meningkat daripada RM123.3 juta pada 2025 kepada RM264.7 juta pada 2026, RM352.5 juta pada 2027 dan RM392.5 juta pada 2028, manakala EBITDA masing-masing diunjurkan RM24 juta, RM32.5 juta dan RM36.7 juta bagi tempoh sama.
Sasaran Tempahan Kerja Dinaikkan
Phillip Capital berkata peningkatan unjuran itu didorong oleh jumlah kontrak baharu yang semakin kukuh dengan HE Group telah mencatatkan RM280 juta tempahan kerja setakat tahun ini.
Jumlah tersebut membawa buku tempahan syarikat kepada sekitar RM300 juta iaitu paras rekod baharu, dengan sektor pusat data menyumbang kira-kira 45% daripada keseluruhannya.
Firma itu turut melihat aliran kontrak yang kukuh daripada sektor pusat data dan semikonduktor, selain baki lima bulan dalam tahun kewangan 2026 memberikan ruang kepada HE Group untuk terus menambah tempahan kerja.
ARTIKEL BERKAITAN: HE Group terima LOI projek elektrik 275kV pusat data Johor bernilai RM47 juta
“Dengan nilai projek dalam proses bidaan (tender) mencecah RM1 bilion, kami menaikkan sasaran penggantian tempahan kerja bagi 2026 kepada RM400 juta daripada RM300 juta sebelum ini.
“Sasaran bagi 2027 dan 2028 turut dinaikkan masing-masing kepada RM350 juta, berbanding RM250 juta dan RM300 juta sebelum ini,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Penilaian Dan Aliran Tunai Semakin Kukuh
Phillip Capital berkata harga sasaran baharu RM1 itu berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 18 kali bagi anggaran keuntungan 2027, berbanding 16 kali sebelum ini.
Menurut firma itu, gandaan lebih tinggi tersebut disokong keterlihatan tempahan kerja yang kukuh serta kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) keuntungan selama tiga tahun sebanyak 36%.
Pada harga penutup RM0.69, sasaran RM1 itu memberikan potensi pulangan kira-kira 44.9%, manakala saham HE Group kini didagangkan pada sekitar 12 kali nisbah harga kepada pendapatan hadapan.
Phillip Capital turut mengunjurkan aliran tunai bebas HE Group meningkat daripada RM1.2 juta pada 2026 kepada RM20 juta pada 2027 dan RM25.7 juta pada 2028, manakala tunai syarikat dijangka meningkat daripada RM59.8 juta kepada RM74.9 juta dan RM95 juta dalam tempoh sama.
Bagi pulangan kepada pemegang saham, nisbah pembayaran dividen (dividend payout ratio) diunjurkan kekal pada 20%, dengan dividen sesaham masing-masing 0.8 sen, 1.1 sen dan 1.3 sen bagi 2026 hingga 2028. Phillip Capital menyifatkan perkembangan kontrak baharu sebagai pemangkin berpotensi kepada penilaian semula saham HE Group.
Namun, firma tersebut memberi amaran mengenai beberapa risiko utama termasuk pertumbuhan tempahan kerja yang lebih perlahan daripada jangkaan, kelewatan projek serta peningkatan kos. - DagangNews.com






