Sime Darby Property ambil alih tanah di Kulai bernilai RM418.5 juta

Business & Finance
12 Aug 2026 • 7:43 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sime Darby Property ambil alih tanah di Kulai bernilai RM418.5 juta

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Property (Kulai) Sdn. Bhd., mengambil alih tanah pegangan bebas seluas 225.39 hektar di Kulai, Johor bernilai RM418.5 juta.

Syarikat telah memeterai Perjanjian Jual Beli bersyarat dengan SD Guthrie Berhad (Guthrie) bagi pengoperasian tanah yang terletak di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tersebut.

Kawasan berkenaan bakal dibangunkan sebagai perbandaran mampan merangkumi pembangunan kediaman bertanah dan komersial, dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM3 bilion.

Projek yang terletak di koridor pertumbuhan Senai-Kulai itu dijangka meluncurkan fasa pertamanya pada tahun 2028, manakala keseluruhan pelan pembangunan dianggarkan mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun.

Langkah strategik ini sekali gus memperkukuh kehadiran kumpulan di Johor selain mempelbagaikan asas pendapatan geografi syarikat di luar Lembah Klang dan Negeri Sembilan di bawah strategi SHIFT32.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, pengambilalihan tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperluas portfolio pembangunan syarikat.

“Terletak di dalam zon ekonomi berpotensi tinggi JS-SEZ, tapak ini memberikan peluang terbaik untuk kami membina perbandaran mampan yang memenuhi permintaan pasaran semasa.

“Dengan lokasi yang strategik dan keluasan kawasan yang signifikan, kami berada pada kedudukan terbaik untuk menyokong aktiviti ekonomi tempatan serta menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang negeri Johor,” katanya.

Kawasan pembangunan baharu itu dilengkapi rangkaian perhubungan jalan raya, udara dan kereta api yang cemerlang melalui Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, serta perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

Lokasi berkenaan turut dikelilingi hab perindustrian utama seperti Senai Airport City dan Sedenak Tech Park (STeP), selain berhampiran kemudahan runcit dan rekreasi terkemuka termasuk Johor Premium Outlets (JPO). – UTUSAN

The post Sime Darby Property ambil alih tanah di Kulai bernilai RM418.5 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved