TA Research mulakan liputan ke atas Nestcon dengan saranan ‘Beli’, sasaran harga RM0.62 sesaham

LocalBusiness & Finance
10 Aug 2026 • 12:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Research mulakan liputan ke atas Nestcon dengan saranan ‘Beli’, sasaran harga RM0.62 sesaham Image from: TA Research mulakan liputan ke atas Nestcon dengan saranan ‘Beli’, sasaran harga RM0.62 sesaham hamden10/08/2026 - 12:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos - TA Research memulakan liputan terhadap Nestcon Berhad (Nestcon) dengan saranan ‘Beli’ dan harga sasaran RM0.62 sesaham, disokong prospek pertumbuhan pendapatan dalam sektor pembinaan dan hartanah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Nestcon sebagai kumpulan pembinaan bersepadu berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada kitaran peningkatan sektor pembinaan Malaysia, selain berpotensi meningkatkan margin menerusi kepelbagaian ke dalam pembangunan hartanah.

 

"Tiga kelebihan Nestcon ialah kontraktor bersepadu yang bakal mendapat manfaat daripada kitaran peningkatan sektor pembinaan Malaysia, memiliki kepelbagaian dalam pembangunan hartanah untuk memacu pengembangan margin dan keterlihatan pendapatan yang kukuh," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TA Research mengunjurkan pendapatan teras Nestcon berkembang masing-masing 85.3%, 52.3% dan 50.4% bagi FY26, FY27 dan FY28.

 

"Ini akan menyaksikan pendapatan teras kumpulan meningkat kepada RM21.1 juta pada FY26, RM32.1 juta pada FY27 dan RM48.4 juta pada FY28," katanya lagi.

 

Menurut firma itu lagi pertumbuhan tersebut disokong beberapa faktor, termasuk pengisian semula buku tempahan baharu sebanyak RM500 juta bagi FY26 serta masing-masing RM1 bilion bagi FY27 dan FY28.

 

Pada akhir Jun 2026, Nestcon mempunyai buku tempahan tertunggak bernilai RM1.73 bilion, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tempoh akan datang.

 

TA Research turut mengunjurkan margin bersih Nestcon meningkat daripada 2.7% pada FY26 kepada 3.3% pada FY27 dan 3.7% pada FY28.

 

Pembangunan Hartanah

Selain aktiviti pembinaan, firma penyelidikan itu mengambil kira potensi sumbangan daripada segmen pembangunan hartanah dengan andaian jualan sebanyak RM200 juta pada FY28.

 

Menurut TA Research, kepelbagaian Nestcon ke dalam pembangunan hartanah merupakan antara pemacu utama yang berpotensi menyumbang kepada pengembangan margin kumpulan.

 

Langkah itu dilihat dapat memberikan sumber pertumbuhan tambahan kepada Nestcon selain aktiviti pembinaan, khususnya ketika kumpulan terus mengembangkan buku pesanannya.

 

“Kontraktor bersepadu yang bakal mendapat manfaat daripada kitaran peningkatan sektor pembinaan Malaysia, kepelbagaian ke dalam pembangunan hartanah untuk memacu pengembangan margin dan keterlihatan pendapatan yang kukuh,” katanya.

 

Dari segi penilaian, TA Research menetapkan harga sasaran RM0.62 sesaham, berdasarkan 15 kali pendapatan sesaham (EPS) CY27F.

 

Penilaian itu mewakili diskaun satu gandaan berbanding sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 16 kali bagi Kerjaya Prospek Group dan Binastra Corporation.

 

TA Research berkata, diskaun tersebut mencerminkan skala operasi dan kedudukan pasaran Nestcon yang lebih kecil berbanding syarikat pembinaan berkenaan.

 

Bagaimanapun, firma itu berpendapat diskaun tersebut wajar kekal sederhana, mengambil kira asas pelanggan Nestcon yang kukuh, buku tempahan bernilai RM1.73 bilion, prospek pengisian semula pesanan yang baik serta potensi peningkatan margin melalui kepelbagaian ke dalam pembangunan hartanah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved