amree26/08/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Ogos — Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mencatatkan kemerosotan kewangan dengan kerugian bersih RM1.3 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2026, menurut penganalisis.
Ia selepas diambil kira susut nilai bukan tunai RM1.6 bilion ke atas pelaburannya dalam syarikat kimia khas, Synthomer PLC, namun dua firma berpendapat asas perniagaan kumpulan itu kekal stabil.
MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral dengan harga sasaran (TP) RM20.15, dengan melihat isu Synthomer sebagai peristiwa sekali sahaja, yang tiada kesan langsung kepada operasi dan aliran tunai KLK.
"Pengurangan besar ini dijangka dapat disusun semula, walaupun kedudukan kunci kira-kira syarikat bersekutu KLK itu masih tertekan dan kekal sebagai masalah utama," jelasnya dalam nota analisis.
Jika dikecualikan kesan luar biasa ini, keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan FY26 berjumlah RM892.4 juta, turun 11.2% tahun ke tahun (YoY) dan masih dalam jangkaan firma penyelidikan itu.
Kata MBSB Research, perniagaan perladangan kekal berdaya tahan dengan keuntungan huluan 3QFY26 naik 7.6% kepada RM658.3 juta, disokong harga isirung (PK) dan jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM).

Segmen hiliran pula mencatatkan peningkatan ketara apabila keuntungan melonjak lebih 100% kepada RM136.5 juta, dipacu prestasi perniagaan oleokimia berikutan gangguan bekalan industri petrokimia.
Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) turut mengekalkan saranan 'neutral' tetapi menaikkan TP kepada RM23.86 sesaham selepas meningkatkan unjuran hasil hingga FY28 sebanyak 9%.
"Kami menaikkan andaian harga MSM kepada RM4,500 satu tan, manakala keuntungan teras 9MFY26 ialah RM902.2 juta selepas melaraskan beberapa item luar biasa," tambah firma penyelidikan tersebut.
Bagi 3QFY26, hasil KLK naik 10% YoY kepada RM7 bilion, disokong lonjakan jualan pembuatan sebanyak 15.2% kepada RM6.4 bilion berikutan prestasi yang jauh lebih baik menerusi perniagaan oleokimia.
Ujar PublicInvest, keuntungan teras suku tahunan namun susut 17.2% kepada RM287.3 juta, dipengaruhi segmen perladangan dan hartanah, meskipun pendapatan perniagaan pembuatan meningkat dengan ketara.
Menurutnya, prospek kumpulan berkenaan dijangka bertambah baik menjelang tempoh suku keempat FY26, disokong harga MSM yang lebih kukuh serta kesan gangguan bekalan industri petrokimia global.
"Keadaan tersebut diunjur terus memberi kelebihan kepada perniagaan oleokimia kumpulan, tanpa dipengaruhi isu penyusutan nilai pelaburan KLK dalam Synthomer," katanya. - DagangNews.com






