
IPOH – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak dan mencederakan seorang wanita, minggu lalu.
Tertuduh, Lee Koon Yew, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita berusia 26 tahun di sebuah rumah di Taman Batu Gajah Perdana di dalam daerah Batu Gajah, kira-kira pukul 11.40 pagi pada 8 Ogos 2026.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh namun jika mahkamah membenarkan, jaminan sebanyak RM20,000 dicadangkan untuk lelaki terbabit.
Katanya, ketika kejadian mangsa sedang mendukung bayinya yang berusia dua bulan dan mengalami kecederaan akibat dipukul tertuduh sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.
“Hujahan tersebut diambil kira sebagai satu faktor pemberatan untuk hujahan jaminan,” katanya.
Peguam bela yang mewakili tertuduh, A.Dhirren bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan wang jaminan yang minima memandang tertuduh seorang penganggur yang perlu menanggung dua anak masing-masing berusia 23 dan 21 tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 23 September depan untuk serahan dokumen.- KOSMO! ONLINE
The post Penganggur tidak mengaku rompak, cederakan wanita appeared first on Kosmo Digital.






