Bekas tentera didakwa amang seksual, aniaya anak dan cederakan isteri

14 Aug 2026 • 7:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas tentera didakwa amang seksual, aniaya anak dan cederakan isteri
Hakim Raja Noor Adilla dan Majistret Uthman bersama barisan pendakwaan hadir ke Hospital Melaka bagi prosiding terhadap tertuduh pada Jumaat.

MELAKA - Seorang penganggur yang sebelum ini direman lima hari selepas disyaki melakukan amang seksual dan penganiayaan fizikal terhadap dua anaknya berusia lapan dan empat tahun didakwa atas lapan pertuduhan pada Jumaat.

Pertuduhan terhadap bekas tentera berusia 40 tahun itu dijalankan di Hospital Melaka selepas lelaki itu sedang menerima rawatan akibat masalah sesak nafas.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut tiga pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelaki berusia lapan tahun serta anak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Taman Pahlawan Sungai Udang di sini pada 23 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTK) 2017, jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga didakwa atas dua pertuduhan lain iaitu melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap anak perempuannya itu di tempat sama pada 3 Jun lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 14(b) dan 15 (a) (i) AKKSTK 2017, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta pemenjaraan maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau dengan kedua-duanya.

Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan lagi, iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera kepada isteri berusia 35 tahun dengan cara menampar mukanya serta mencederakan dua anak kandungnya itu dengan memukul badan mereka.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan hukuman dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda RM2,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rif'ah 'Izzati Abdul Mutalif dan Shauki Mardia Baharudin.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 September depan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved