liza25/09/2026 - 10:37 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept – Sarawak Oil Palms Bhd (SOP) dijangka mencatat prestasi kewangan yang lebih baik pada suku ketiga 2026, disokong harga minyak sawit mentah (CPO) yang kekal tinggi serta peningkatan pengeluaran buah tandan segar (FFB), kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata tiga pemacu utama kepada prospek SOP ialah kenaikan harga CPO, pengeluaran FFB yang lebih tinggi serta peningkatan daya saing bahagian pemprosesan hiliran berbanding pesaing.
“Pengeluaran FFB SOP dijangka meningkat 2.2% kepada 1.32 juta tan pada 2026 daripada 1.29 juta tan pada 2025, sebelum meningkat lagi kepada 1.36 juta tan pada 2027 dan 1.40 juta tan pada 2028.
“Bagi harga CPO pula, kami mengunjurkan harga efektif pada RM4,400 setan untuk 2026 dan meningkat kepada RM4,500 setan pada 2027, sebelum kembali kepada RM4,400 setan pada 2028,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Keuntungan dijangka meningkat
Gabungan pengeluaran FFB yang lebih tinggi dan harga CPO yang baik dijangka membantu SOP meningkatkan keuntungan, dengan keuntungan bersih berulang diunjurkan naik kepada RM520 juta pada 2026 daripada RM470 juta pada 2025.
Firma itu berkata keuntungan bersih itu kemudiannya dijangka meningkat kepada RM547 juta pada 2027 dan RM567 juta pada 2028, manakala margin keuntungan bersih dijangka bertambah baik daripada 7.6% pada 2025 kepada 9.2% pada 2026.
“Dari segi hasil, SOP dijangka mencatat RM5.66 bilion pada 2026, hampir sama dengan RM5.67 bilion yang direkodkan pada 2025, menunjukkan peningkatan keuntungan lebih banyak dipacu oleh penambahbaikan margin dan kecekapan operasi,” katanya.
Risiko harga CPO dan cuaca perlu diperhatikan
Walaupun prospek keuntungan dilihat positif, RHB Research menyenaraikan beberapa risiko yang boleh menjejaskan prestasi SOP, termasuk penurunan harga CPO, keadaan cuaca serta perubahan permintaan dan bekalan dalam pasaran minyak sayuran global.
Dalam pada itu, dari sudut kelestarian, SOP merekodkan jumlah pelepasan gas rumah hijau sebanyak 834,660 tan setara karbon dioksida pada 2025 selepas memperluas pelaporan kepada pelepasan dalam rantaian nilai.
SOP juga mengekalkan 100% kebolehkesanan kepada kilang dan mencapai 95% kebolehkesanan kepada ladang bagi kilangnya, selain memastikan 100% operasinya mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Secara keseluruhan, RHB Research melihat peningkatan pengeluaran FFB, harga CPO yang menggalakkan serta daya saing bahagian hiliran sebagai asas kepada prestasi SOP yang lebih baik dalam tempoh akan datang.
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap SOP dengan harga sasaran RM6.75 sesaham berbanding harga pasaran RM5.98, mencerminkan potensi pulangan sekitar 13%.- DagangNews.com





