
ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum membincangkan calon bagi menggantikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Suhaily Mohd. Zain yang berdepan pertuduhan di mahkamah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu belum sampai ke peringkat perbincangan, termasuk kemungkinan melantik calon daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, status perkhidmatan Mohd. Suhaily ketika ini sedang diuruskan mengikut prosedur dan peraturan penjawat awam susulan pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau.
“Belum sampai ke situ. Belum lagi kita bincang sampai ke situ,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi/Kereta Sewa/Bas Sekolah di sini, hari ini.
Mengulas status Mohd. Suhaily dalam agensi itu, Saifuddin berkata, penjawat awam yang berdepan pertuduhan perlu melalui proses pengurusan perkhidmatan mengikut aturan ditetapkan.
Katanya, perkara berkenaan sedang diuruskan oleh bahagian berkaitan dalam perkhidmatan awam.
Pada 29 Oktober lalu, Saifuddin Nasution berkata, KDN memutuskan Mohd. Shuhaily yang dalam tempoh peminjaman di AKPS akan kembali bertugas dengan PDRM.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, PDRM sudah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Pakistan berhubung penahanan 130 rakyat Malaysia yang disyaki terbabit kegiatan penipuan dalam talian di negara itu.
Menurut Saifuddin Nasution, perbincangan itu diadakan susulan makluman daripada rakan sejawatnya di Pakistan dua minggu lalu mengenai penahanan kumpulan rakyat Malaysia berkenaan.
Katanya, beliau kemudian meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman mengadakan pertemuan segera dengan jabatan berkaitan di Pakistan bagi membincangkan pengurusan kes itu.
“Perbincangan sudah pun berjalan. Saya nanti akan menerima laporan untuk menentukan hala tuju tindakan seterusnya. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan,” katanya. – UTUSAN
The post Pengganti Shuhaily belum dibincangkan – Saifuddin appeared first on Utusan Malaysia.






