Pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Industri 2026 jadi pemangkin EPIC tingkatkan perkhidmatan operasi pelabuhan di Terengganu

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 9:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Industri 2026 jadi pemangkin EPIC tingkatkan perkhidmatan operasi pelabuhan di Terengganu Image from: Pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Industri 2026 jadi pemangkin EPIC tingkatkan perkhidmatan operasi pelabuhan di Terengganu liza26/10/2026 - 09:11 Pelabuhan Kemaman - Gambar EPIC Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) akan menjadikan pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 sebagai pemangkin untuk meningkatkan standard perkhidmatan, kecekapan operasi dan pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

Syarikat berkaitan kerajaan Negeri Terengganu di bawah Kumpulan Terengganu Inc itu buat kali pertama merangkul Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan (Kategori 4) pada majlis anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Menara MITI baru-baru ini.

 

Pengiktirafan berkenaan mencerminkan keupayaan EPIC Berhad dalam sektor perkhidmatan industri, selain komitmen kumpulan terhadap kecemerlangan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan serta pihak berkepentingan.

 

Anugerah Kecemerlangan Industri yang diperkenalkan MITI pada 1991 itu bertujuan mengiktiraf syarikat yang menunjukkan kecemerlangan dalam amalan pengurusan, menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti serta konsisten memberikan nilai tambah kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.

 

Kategori 4 dikhususkan kepada syarikat tempatan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM100 juta. EPIC Berhad bersaing dengan dua pemain industri pelabuhan negara, iaitu Northport Malaysia Berhad dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, sebelum dinobatkan sebagai pemenang.

 

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

t

 

Projek pembesaran Pelabuhan Kemaman

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts Muhtar Suhaili berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen seluruh warga kerja dalam membangunkan organisasi yang berdaya saing dan berorientasikan prestasi, selain usaha berterusan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

 

Menurut beliau, pengiktirafan itu turut mendorong kumpulan berkenaan meningkatkan standard prestasi, memperkukuh keupayaan organisasi dan memastikan pertumbuhan perniagaan dapat dikekalkan secara mampan.

 

“Seiring dengan hala tuju itu, EPIC Berhad akan terus meningkatkan keupayaan operasi, menambah baik fasiliti dan melaksanakan projek strategik, termasuk Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman serta Laluan Sisihan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

“Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha syarikat meningkatkan daya saing perniagaan, memenuhi keperluan pasaran yang berkembang serta memanfaatkan peluang pertumbuhan yang selari dengan kepakaran dan hala tuju strategik Kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Di bawah Pelan Perniagaan Strategik EPIC 2025–2030 (EPIC BEST 2530), syarikat akan memberi tumpuan kepada pengukuhan perniagaan teras, peningkatan kecekapan operasi dan penerokaan peluang pertumbuhan yang mampu memberikan nilai jangka panjang.

 

Dr Muhtar berkata, pertumbuhan perniagaan perlu disokong oleh asas kewangan yang stabil, tadbir urus yang baik serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri bagi memastikan hala tuju jangka panjang kumpulan dapat dilaksanakan.

 

EPIC Berhad ditubuhkan pada 17 Januari 1981 dan menyediakan perkhidmatan minyak dan gas bersepadu bagi rantaian nilai huluan dan hiliran. Perniagaan terasnya merangkumi perkhidmatan pangkalan bagi industri minyak dan gas luar pesisir, pengurusan pelabuhan, kejuruteraan, perkhidmatan marin serta kejuruteraan dan penyelenggaraan.

 

Kumpulan itu turut terlibat dalam sektor tenaga boleh baharu dan teknologi hijau bagi menyokong peralihan tenaga Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan cekap sumber. EPIC Berhad komited untuk meneruskan kecemerlangan pengurusan, meningkatkan kecekapan operasi dan memanfaatkan peluang pertumbuhan bagi menyokong pembangunan sosioekonomi Terengganu serta kemajuan industri negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved