Peningkatan jualan minyak sawit lonjak keuntungan Teck Guan kepada 205% pada 2QFY2027

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peningkatan jualan minyak sawit lonjak keuntungan Teck Guan kepada 205% pada 2QFY2027 Image from: Peningkatan jualan minyak sawit lonjak keuntungan Teck Guan kepada 205% pada 2QFY2027 liza25/09/2026 - 14:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Sept – Teck Guan Perdana Berhad mencatat peningkatan ketara keuntungan bersih bagi suku kedua tahun kewangan 2026/2027 (2QFY2027), didorong prestasi lebih baik segmen produk sawit susulan peningkatan jumlah jualan, harga jualan dan margin operasi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Teck Guan berkata bagi suku berakhir 31 Julai 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat 205% kepada RM16.04 juta atau 40.01 sen sesaham berbanding RM5.26 juta atau 13.11 sen sesaham pada suku sama tahun sebelumnya.

 

“Hasil turut melonjak 179% kepada RM260.81 juta daripada RM93.44 juta, terutama disebabkan peningkatan jumlah jualan dan harga jualan produk sawit yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan.

 

“Segmen produk sawit mencatat hasil RM254.41 juta, berbanding RM82.92 juta pada suku sama tahun sebelumnya. Keuntungan operasi segmen itu pula meningkat kepada RM22.63 juta daripada RM4.34 juta, terutama hasil peningkatan margin operasi,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Secara keseluruhan, keuntungan sebelum cukai kumpulan meningkat 252% kepada RM21.29 juta daripada RM6.05 juta, manakala keuntungan operasi meningkat 249% kepada RM21.46 juta daripada RM6.16 juta.

 

Prestasi separuh tahun dan aliran tunai

Bagi tempoh enam bulan pertama FY2027, hasil kumpulan meningkat 24% kepada RM278.73 juta daripada RM224.76 juta, manakala keuntungan sebelum cukai naik 11% kepada RM21.93 juta daripada RM19.82 juta.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih bagi tempoh itu susut sedikit 1% kepada RM16.48 juta berbanding RM16.64 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan kukuh pada suku kedua belum diterjemahkan kepada pertumbuhan keuntungan bersih bagi keseluruhan separuh tahun.

 

Dari segi aliran tunai, aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi berubah kepada positif RM24.90 juta bagi enam bulan pertama FY2027 berbanding aliran keluar bersih RM20.69 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Tunai dan baki bank kumpulan turut meningkat kepada RM85.15 juta pada 31 Julai 2026 berbanding RM65.79 juta pada akhir Januari 2026, manakala kumpulan membayar dividen sebanyak RM2.81 juta atau 7 sen sesaham pada 15 Julai 2026 bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026.

 

Prospek masih positif, namun berdepan risiko pengeluaran

Mengulas prospek, kumpulan berkata permintaan terhadap produk sawit kekal konsisten dan menyokong prestasi separuh pertama FY2027, namun pengeluaran kelapa sawit dijangka lebih rendah dalam tempoh terdekat berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Menurut kumpulan, risiko berkaitan cuaca termasuk kemungkinan kesan El Niño dan keadaan jerebu di Asia Tenggara boleh menjejaskan aktiviti penuaian serta ketersediaan hasil tanaman.

 

Walaupun berdepan kekangan bekalan dalam tempoh terdekat, lembaga pengarah kekal berhati-hati tetapi optimistik terhadap prospek jangka panjang perniagaan berasaskan sawit, disokong program biodiesel dan bahan api boleh diperbaharui yang berterusan.

 

Kumpulan menjangkakan permintaan minyak sayuran global terus mendapat sokongan daripada program biodiesel berasaskan sawit Indonesia serta peluasan keperluan bahan api boleh diperbaharui di Amerika Syarikat, selain permintaan hiliran yang berdaya tahan daripada industri oleokimia dan makanan.

 

Pada masa sama, perkembangan geopolitik, tekanan inflasi dan kos bahan mentah berpotensi terus memberi tekanan kepada margin keuntungan.

 

Sehubungan itu, Teck Guan Perdana berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, hasil pengeluaran dan inisiatif strategik bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

 

Tiada dividen diumumkan bagi pada suku kedua ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved