
KUANTAN, 28 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang penjawat awam yang disyaki menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk bahan terlarang ke dalam penjara.
Sumber memaklumkan perintah reman sehingga 30 Julai terhadap suspek berusia lingkungan 40-an dikeluarkan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.
Suspek yang berkhidmat di Bentong dipercayai menerima kira-kira RM4,500 daripada ahli keluarga beberapa banduan untuk membawa masuk bahan terlarang bagi kegunaan banduan terlibat.
“Siasatan awal mendapati, wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik suspek antara Januari hingga Mac 2026,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.





