Penjenayah tular Damansara Damai ‘tumpas’ selepas cedera ditembak polis

10 Oct 2026 • 9:21 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penjenayah tular Damansara Damai ‘tumpas’ selepas cedera ditembak polis

PETALING JAYA – Seorang penjenayah yang tular dalam insiden mengejar semalam akhirnya tumpas selepas cedera ditembak polis ketika cuba meloloskan diri di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Damansara Damai di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.42 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta jenis Proton Wira telah melanggar kenderaan awam sebelum meninggalkan keretanya dan cuba melarikan diri dengan berlari di lebuh raya.

Bagaimanapun, tindakan suspek itu berakhir apabila dia berjaya diberkas selepas mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden mengejar antara polis peronda dengan kereta suspek dari Persiaran Mahogani menghala ke Sungai Buloh.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki dadah dan senjata mainan menyerupai pistol.

“Suspek mempunyai 10 rekod lampau iaitu enam berkaitan dadah dan empat kes jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek belum dapat dijalankan kerana sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Katanya, anggota peronda polis yang terlibat dalam kejadian itu turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu atau berbahaya.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Beliau menambah, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

The post Penjenayah tular Damansara Damai ‘tumpas’ selepas cedera ditembak polis appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved