
KUALA LUMPUR - Penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya akan ditentukan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Menurut Mohd Khalid, ia bagi membolehkan Shuhaily ditamatkan lebih awal daripada penempatan sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Beliau memberitahu, pelantikan Mohd Shuhaily ke jawatan itu sebelum ini mendapat perkenan Seri Paduka Baginda memandangkan beliau adalah pegawai kader polis.
“PDRM sedang menunggu nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum surat rasmi dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily kepada pasukan polis.
“Sehingga perkenan itu diberi, saya masih menunggu. Jadi, saya tidak dapat memastikan (status penugasan baharu) dan sudah pasti beliau akan kembali kepada PDRM kerana beliau adalah pegawai polis," katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bekas Polis Malaysia 2026 di sebuah hotel di sini malam tadi.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kementeriannya memutuskan minggu lepas untuk mengembalikan Mohd Shuhaily ke PDRM selepas tempoh peminjamannya di AKPS berakhir, selain menyerahkan urusan penentuan penugasan baharu beliau kepada pucuk pimpinan polis.
Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.
Pada 21 Oktober lepas, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Sept.
Mengulas lanjut mengenai tugas dan tindakan susulan terhadap Shuhaily, Mohd Khalid berkata ia hanya boleh diambil selepas beliau kembali ke PDRM berkata belum ada sebarang keputusan dibuat setakat ini.
“Bila beliau kembali kepada saya, barulah kami melihat tindakan selanjutnya yang boleh diambil berdasarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Kami ini kakitangan kerajaan, semuanya tertakluk kepada SPA dan Suruhanjaya Pasukan Polis untuk tatatertib,” katanya. - 31 Oktober, 2026
The post Penugasan baharu Shuhaily dalam PDRM belum diputuskan : KPN appeared first on Scoop.






