![Image from: Penunggang Motosikal Tular Tendang Proton Saga Di Plaza Tol Ditahan Polis [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/penunggang-motosikal-tendang-kereta.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (27 April), tular di media sosial rakaman video seorang penunggang motosikal menendang bahagian kiri sebuah kereta Proton Saga di sebuah plaza tol.
Menerusi video tular, kelihatan penunggang motosikal berkenaan menendang cermin sisi dan bahagian depan kiri kereta beberapa kali serta turut memberi isyarat kepada pemandu kereta untuk ke tepi.
Walau bagaimanapun, Proton Saga itu dilihat berlalu pergi sebelum penunggang motosikal berkenaan mengekori kereta terbabit.
Sedutan video itu nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mempersoal dan mengecam tindakan penunggang motosikal berkenaan.
Namun, ada sesetengah warganet yang memihak kepada penunggang motosikal terbabit dan berpendapat mungkin ada kejadian yang berlaku sebelum itu yang mengundang kemarahan penunggang terbabit.
Malah, dalam hantaran berasingan, terdapat video yang menunjukkan kejadian dipercayai sebelum plaza tol di mana kereta Proton Saga terbabit dilihat secara tiba-tiba menukar lorong ketika penunggang motosikal berkenaan berada di lorong kanan pada kelajuan 90km/jam.
Ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen hingga ada yang membangkitkan isu blind spot, tukar lorong mengejut, membunyikan hon yang panjang selain perbuatan merosakkan harta orang lain.
View on Threads
Polis Tahan Penunggang Motosikal
Semalam (27 April), polis menahan seorang penunggang motosikal yang dipercayai melakukan perbuatan khianat terhadap sebuah kereta di Plaza Tol Kajang, Lebuhraya Kajang – Seremban (Lekas) pada Ahad (26 April) lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihaknya telah mengesan video tular yang berdurasi satu minit 26 saat yang memaparkan kejadian terbabit.
“Kejadian dipercayai berlaku pada jam 4 petang, kita telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.
“Kereta Proton Saga yang dipandu mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan sebelah kiri kerana disyaki ditendang oleh suspek,” katanya.
Punca & Motif Kejadian Masih Dalam Siasatan
Jelasnya, lelaki tempatan berusia 24 tahun dan bekerja di sektor swasta sekitar Kajang telah ditahan oleh sepasukan anggota dan pengawal dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang petang semalam bagi membantu siasatan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Punca dan motif kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Tambah Naazron, setiap pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mengamalkan sikap timbang rasa, mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas serta memandu secara berhemah demi keselamatan bersama.
~KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH KAJANG~27 April 2026KES VIDEO TULAR DI MEDIA SOSIAL MELIBATKAN PERBUATAN KHIANAT OLEH PENUNGGANG MOTOSIKAL DI TOL KAJANG LEKAS
Posted by Polis Daerah Kajang on Monday 27 April 2026
Baca Artikel Berkaitan: “Malu Dapat, Sakit Pun Dapat” – Rider Tergolek Selepas Tendang Kereta Raih Perhatian Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Dapat Sakit & Malu” – Padah Tendang Kereta, Penunggang Motosikal Jatuh Tergolek [Video]






