Hasil Global Oriental susut 30% kepada RM152 juta bagi FY26 disebabkan sumbangan rendah hartanah

30 Jul 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil Global Oriental susut 30% kepada RM152 juta bagi FY26 disebabkan sumbangan rendah hartanah Image from: Hasil Global Oriental susut 30% kepada RM152 juta bagi FY26 disebabkan sumbangan rendah hartanah amree30/07/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 JulaiGlobal Oriental Berhad mencatatkan penurunan 29.65% hasil kepada RM151.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26), menyusut berbanding RM215.7 juta pada FY25.

 

Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, penyusutan pendapatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada bahagian pembangunan hartanah.

 

Faktor utama kemerosotan tersebut adalah ketiadaan jualan tanah di Bentong, Pahang yang sudah menyumbang secara signifikan pada tahun sebelumnya, selain selesainya Fasa 1 projek Villa D’Polo.

 

"Walaupun berdepan penurunan hasil, Global Oriental menunjukkan daya tahan dengan ada beberapa pencapaian penting termasuk keuntungan bersih yang boleh diagihkan sebanyak RM5.19 juta," katanya.

 

Jumlah itu meningkat ketara daripada hanya RM1.67 juta pada FY25, dengan bahagian operasi tempat letak kereta kini merupakan penyumbang hasil terbesar kumpulan ini dengan rekod RM87.8 juta.

 

Ia mewakili 58% daripada jumlah keseluruhan, dengan prestasi disokong oleh penggunaan tempat letak kereta yang lebih tinggi, kontrak baharu, dan inisiatif pendigitalan menerusi platform GlobalPark.

 

Global Oriental_DagangNews2026

 

Jelasnya, prestasi bahagian hartanah pula menyumbang RM37.3 juta atau 25% daripada pendapatan Global Oriental, yang dipacu terutamanya oleh projek kediaman Villa D’Polo di Ipoh, Perak.

 

"Segmen perniagaan runcit yang mengendalikan Tsutaya Books dan National Geographic mencatatkan hasil RM17.5 juta, manakala segmen perdagangan dan pengedaran pula adalah RM9.2 juta," jelasnya.

 

Kumpulan berjaya mengukuhkan nisbah penggearan kepada 0.69 kali berbanding 0.80 kali pada FY25, susulan daripada pengurangan pinjaman bank melalui pelupusan unit runcit di Pavilion Embassy.

 

Pengerusi Global Oriental, Datuk Seri Ahmad Hamzah menegaskan, kumpulan akan terus fokus pada pelaksanaan disiplin dan pengurusan modal bagi menghadapi persekitaran operasi yang mencabar.

 

Strategi masa hadapan syarikat itu termasuklah meneruskan pembangunan Fasa 2 Villa D’Polo yang disasarkan untuk pelancaran pada FY27, selain aktif menjalankan pelbagai aktiviti persediaan awal.

 

"Ini termasuk projek pembangunan campuran strategik, Pavilion D’or di Genting Highlands, meliputi apartmen servis, hotel, dan lot runcit di kawasan tanah seluas 100 hektar," kata beliau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved