Penyedia insurans dan takaful perubatan dijangka naikkan premium dengan ketara pada 2027 – MBSB Research

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 10:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penyedia insurans dan takaful perubatan dijangka naikkan premium dengan ketara pada 2027 – MBSB Research Image from: Penyedia insurans dan takaful perubatan dijangka naikkan premium dengan ketara pada 2027 – MBSB Research sarah13/10/2026 - 10:14 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt - Penyedia insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) telah memberi petunjuk mengenai kemungkinan kenaikan premium yang ketara pada 2027 bagi menampung peningkatan kos perubatan akibat masalah logistik global, menurut MBSB Research.

 

Dalam nota penyelidikannya, firma itu berkata 2027 merupakan tahun penting bagi pelarasan premium selepas had kenaikan premium MHIT sebanyak 10% yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) berakhir pada 2026.

 

Sebelum jerebu berpanjangan melanda, sektor insurans sudah berdepan beberapa cabaran, termasuk ketidaktentuan pendapatan pelaburan susulan kenaikan hasil bon, peningkatan kos insurans semula dan tuntutan, risiko geopolitik, cuaca luar biasa serta penyusutan ringgit. Persaingan daripada syarikat insurans asing yang lebih maju dari segi teknologi dan perbelanjaan isi rumah yang semakin lemah turut memberi tekanan kepada industri.

 

Jerebu pula dijangka meningkatkan tuntutan perubatan susulan pertambahan kes penyakit pernafasan, selain kenaikan harga ubat-ubatan dan peralatan perubatan akibat masalah logistik global.

 

Bagaimanapun, penyedia MHIT berdepan kesukaran memindahkan peningkatan kos tuntutan kepada pengguna melalui kenaikan premium kerana isi rumah masih tertekan dengan kos sara hidup. Kenaikan terlalu tinggi boleh mendorong pembatalan polisi secara meluas serta mencetuskan tekanan daripada pelbagai pihak.

 

Keadaan itu turut meningkatkan kemungkinan campur tangan kawal selia BNM bagi mengekalkan kadar penembusan insurans, terutama ketika maklum balas pasaran menunjukkan sambutan yang lemah terhadap produk MediAsas.

 

Justeru, penyedia MHIT berdepan dilema antara menaikkan premium dengan ketara sehingga berisiko kehilangan pelanggan dan berdepan tindakan kawal selia, atau mengehadkan kenaikan bagi mengekalkan pelanggan walaupun perlu menerima margin keuntungan lebih rendah.

 

MBSB Research menjelaskan bahawa risiko tindak balas kawal selia itu lebih tertumpu kepada premium kesihatan yang diperbaharui secara berkala. Segmen manfaat pekerja pula tidak tertakluk kepada had kenaikan 10% BNM dan boleh dirunding semula setiap tahun.

 

jer

 

Dalam pada itu, ketidaktentuan sama ada jerebu seteruk ketika ini akan berulang turut menjadi kebimbangan pelabur. Malaysia kini berdepan episod jerebu yang disifatkan sebagai paling buruk, dengan keadaan itu dijangka berlarutan sehingga Februari 2027, apabila Monsun Timur Laut membawa hujan berterusan.

 

Fenomena El Niño luar biasa yang dijangka berterusan sehingga Februari 2027 mungkin menjadi antara faktor yang memburukkan keadaan. Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada jerebu seteruk ini akan berulang, khususnya jika El Niño tidak berulang atau peraturan alam sekitar di Indonesia dapat memperkukuh kawalan pembakaran hutan.

 

Selain itu, pembenihan awan bagi membersihkan jerebu turut meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat, seperti yang berlaku di Ranau dan Kundasang. Keadaan ini boleh meningkatkan tuntutan insurans am, termasuk bagi kerosakan akibat kebakaran dan kenderaan.

 

Bagaimanapun, MBSB Research menjangkakan kesan terhadap insurans am mungkin terhad kerana kebanyakan syarikat insurans lazimnya mengelakkan pendedahan berlebihan di kawasan berisiko tinggi mengalami bencana.- DagangNews.com

 

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved