
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perodua Axia sememangnya menjadi pilihan ramai dek kerana harganya yang mampu milik.
Malah, saiznya yang kompak serta jimat minyak juga menjadi antara sebab mengapa Axia menjadi pilihan.
Penurunan Harga Axia Berkuat Kuasa Serta Merta, Bantu Kurangkan Tekanan Kos Rakyat
Terbaharu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mengumumkan harga bagi model Axia diturunkan sehingga RM4,700.
Penurunan harga yang berkuat-kuasa serta merta ini dibuat ekoran peningkatan berterusan dalam kecekapan operasi syarikat.
Langkah ini juga sekaligus membantu meningkatkan keperluan mobiliti harian rakyat Malaysia.
Bukan itu sahaja, penurunan harga kereta yang menjadi pilihan utama rakyat Malaysia ini juga dibuat kerana mahu berkongsi manfaat hasil penjimatan operasi dengan pelanggan.
Malah, inisiatif ini mengukuhkan komitmen mereka untuk membantu rakyat berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, harga baharu itu juga adalah antara usaha pihak syarikat mahu mengurangkan tekanan kos yang dihadapi oleh rakyat.
“Harga baharu ini adalah antara usaha berterusan kami untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia.
“Langkah ini juga mencerminkan usaha kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis dan pengurangan harga QV-E dan pakej Battery as a Service (BaaS) yang ditawarkan,” katanya.
Penuruhan Harga Axia Sehingga RM4,700 Dalam Pasaran Seluruh Malaysia
Kongsi Perodua lagi, penurunan harga dikurangkan sehingga RM4,700. Ini harga terbaharu mengikut varian bagi pasaran Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.
| Jenis Varian | Harga Baharu (RM) | Harga Sebelum (RM) | Jumlah Penurunan (RM) |
| Axia 1.0G (Semenanjung Malaysia) | RM33,900 | RM38,600 | RM4,700 |
| Axia 1.0G (Sabah & Sarawak) | RM35,900 | RM40,600 | RM4,700 |
| Axia 1.0X (Semenanjung Malaysia) | RM38,500 | RM40,000 | RM1,500 |
| Axia 1.0X (Sabah & Sarawak) | RM40,500 | RM42,000 | RM1,500 |
| Axia 1.0SE (Semenanjung Malaysia) | RM43,000 | RM44,000 | RM1,000 |
| Axia 1.0SE (Sabah & Sarawak) | RM45,000 | RM46,000 | RM1,000 |
| Axia 1.0AV (Semenanjung Malaysia) | RM49,000 | RM49,500 | RM500 |
| Axia 1.0AV (Sabah & Sarawak) | RM51,000 | RM51,500 | RM500 |
Perodua Tegas Spesifikasi & Standard Kualiti Tak Berubah Meskipun Harga Turun
Tegas Perodua lagi, pengurangan harga itu tidak menyebabkan perubahan kepada spesifikasi serta standard kualiti Axia.
Ini kerana penjimatan yang diperoleh datang sepenuhnya dari penambahbaikan proses serta peningkatan kecekapan operasi syarikat.
Tambah Zainal Abidin lagi, penurunan harga itu juga hasil daripada inisiatif penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan dan mampan serta kerjasama erat dengan pembekal dan rakan kongsi dalam ekosistem automotof.
Tambah beliau, Perodua menghargai sokongan pembekal serta pengedar yang bersama-sama meningkatkan kecekapan kos demi manfaat industri dan pengguna.
“Kami berterima kasih kepada pembekal dan pengedar kami di atas kerjasama dalam menambah baik kecekapan kos untuk manfaat bersama bukan sahaja pemain industri tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: Graduan Pilih Perodua Myvi & Axia Sebagai Kereta Pilihan Untuk ‘Fresh Grad’ Jadi Perhatian [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Hantaran Wanita Kagum Axia Jimat Minyak ‘Sampai Rasa Nak Beli’ Raih Pelbagai Reaksi






