Perolehan peluru berpandu BrahMos dari India masih di peringkat penelitian – Dewan Rakyat dimaklum

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perolehan peluru berpandu BrahMos dari India masih di peringkat penelitian – Dewan Rakyat dimaklum Image from: Perolehan peluru berpandu BrahMos dari India masih di peringkat penelitian – Dewan Rakyat dimaklum amree13/11/2026 - 10:30 Foto kredit Facebook Asean Skyline Rising Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov — Cadangan Malaysia memperoleh peluru berpandu supersonik BrahMos dari India masih di peringkat penelitian dan belum ada lagi membabitkan sebarang keputusan muktamad mengenai perolehan sistem persenjataan berkenaan.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan tersebut mula dibangkitkan menerusi perbincangan awal antara kerajaan ketika lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India pada September 2026.

 

Beliau berkata, sebarang kemungkinan perolehan perlu melalui penilaian teknikal oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), khususnya bagi menentukan kesesuaian dan keupayaan integrasi peluru berpandu itu dengan pesawat pejuang Su-30MKM sedia ada.

 

"Penilaian sistem persenjataan berkenaan turut merangkumi pelbagai keperluan operasi, keserasian dengan platform yang sedia ada, integrasi sistem, keperluan naik taraf serta kos sepanjang kitar hayat aset tersebut," jelas beliau.

 

Mohamed Khaled menyatakan demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah).

 

Khaled Nordin_Bernama
Foto BERNAMA

 

Katanya, integrasi BrahMos dengan pesawat Su-30MKM turut memerlukan penelitian teknikal secara terperinci termasuk pengubahsuaian pesawat, ujian serta proses pengesahan sebelum keupayaan itu boleh digunakan sepenuhnya.

 

Tambah beliau lagi, proses berkenaan kelazimannya mengambil tempoh yang panjang sebelum sistem persenjataan itu mencapai tahap operasi sepenuhnya.

 

Sebelum ini, Anwar dalam temu bual stesen penyiaran India, NDTV, berkata kemungkinan perolehan BrahMos dibincangkan ketika pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, namun keputusan akhir terletak pada pihak angkatan tentera berdasarkan keperluan operasi.

 

BrahMos ialah peluru berpandu supersonik jarak jauh berkuasa enjin ramjet yang dibangunkan bersama oleh Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan India (DRDO) dan syarikat Rusia, NPO Mashinostroyeniya menerusi usaha sama (JV) BrahMos Aerospace.

 

Sistem berkenaan boleh dilancarkan daripada platform bergerak berasaskan darat, kapal perang, kapal selam serta pesawat pejuang, selain mempunyai keupayaan serangan berketepatan tinggi terhadap sasaran di laut dan darat.

 

Bagi India, BrahMos merupakan antara produk eksport pertahanan utamanya dalam usaha memperluas pasaran persenjataan antarabangsa serta memperkukuh kerjasama strategik pertahanan dengan negara sahabat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved