Perompak van keselamatan tular didakwa alami kemurungan

3 Aug 2026 • 12:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Perompak van keselamatan tular didakwa alami kemurungan

KLANG – Lelaki yang tular selepas dipercayai terlibat dalam cubaan rompakan bersenjata terhadap sebuah van syarikat keselamatan di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, bulan lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Ahmad Shukri Suhairin, 24, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompak terhadap seorang petugas syarikat keselamatan berusia 51 tahun dengan menggunakan sepucuk pistol jenis Revolver dengan melarikan selaras senjata api jenis pum gun milik sebuah syarikat keselamatan.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah bank komersial di Bukit Tinggi kira-kira pukul 5.45 petang pada 20 Julai lalu.

Pertuduhuhan dikemukakan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca sekali dengan Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Abu Bakar mencadangkan jaminan RM10,000 dan syarat lain dirasakan bersesuaian ditetapkan mahkamah terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rozuddin Muhamed merayu jaminan rendah dengan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain baharu sahaja berkahwin tiga bulan lalu.

“Dia juga mengalami masalah tekanan, kemurungan dan kebimbangan,” jelasnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 bersama seorang penjamin selain melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran. Sebutan semula kes ini pada 14 September.

Kosmo! sebelum ini melaporkan suspek berjaya ditahan dalam operasi khas dilaksanakan Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Shah Alam pada 23 Julai lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan, polis turut merampas selaras pum gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru 12 bore yang dilarikan ketika kejadian selain sepucuk pistol pelepas olahraga jenama Ekol Lite bersama 48 butir peluru blank.  -KOSMO!ONLINE

The post Perompak van keselamatan tular didakwa alami kemurungan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved