
PETALING JAYA: Proses persempadanan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu mengambil kira hubungan kekeluargaan, wilayah tradisi dan kebudayaan masyarakat Belaga serta Murum, bukannya berdasarkan jumlah pemilih semata-mata.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata, perkara itu lebih penting daripada jumlah kerusi ialah memastikan sempadan baharu tidak memisahkan komuniti yang telah mempunyai hubungan rapat sejak turun-temurun.
Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Hulu Rajang itu berkata, Belaga dan Murum tidak boleh dilihat hanya berdasarkan garisan pentadbiran atau jumlah pemilih kerana hubungan masyarakat di kawasan pedalaman turut terbentuk melalui pertalian darah, rumah panjang, adat, sungai, tanah dan kawasan mencari rezeki.
“Saya tidak semestinya menuntut penambahan kerusi DUN di Hulu Rajang. Apa yang saya tuntut ialah keadilan dalam persempadanan,” katanya dalam kenyataan berhubung syor terbaru persempadanan kawasan pilihan raya Sarawak yang sedang dipamerkan untuk pandangan rakyat.
Abun Sui berkata, daerah Belaga serta wilayah yang mempunyai hubungan tradisi, sejarah dan kebudayaan rapat dengan masyarakat Belaga dan Murum sewajarnya dipertimbangkan untuk kekal dalam N.78 dan N.79 selagi ia selaras dengan prinsip serta kehendak Perlembagaan.
Beliau berkata, prinsip memelihara hubungan tempatan yang turut mengambil kira kesukaran perhubungan dan pengangkutan amat penting dalam konteks kawasan pedalaman Sarawak.
Katanya, sesebuah rumah panjang atau kampung mungkin mempunyai jumlah pemilih yang kecil, namun hubungan mereka dengan komuniti lain boleh melibatkan puluhan tahun atau beberapa generasi.
“Memisahkan komuniti tersebut melalui sempadan pilihan raya tanpa mengambil kira sejarah dan hubungan tempatan boleh menyebabkan wakil rakyat yang dipilih tidak lagi mewakili keseluruhan jaringan masyarakat yang sebenarnya saling berkait,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti secara khusus sempadan Daerah Belaga, kedudukan komuniti dan rumah panjang, wilayah tradisi masyarakat pedalaman serta hubungan adat dan kebudayaan antara komuniti Belaga dan Murum.
Abun Sui turut mahu aspek sungai dan laluan perhubungan tradisional, jalan raya, akses pengangkutan serta kedudukan sebenar setiap Daerah Mengundi atau Pusat Daerah Mengundi (PDM) diberikan perhatian dalam proses tersebut.
Beliau berkata, persempadanan moden tidak seharusnya memutuskan hubungan masyarakat yang telah terbina jauh sebelum kewujudan sempadan politik hari ini.
Dalam pada itu, Abun Sui menyokong prinsip penambahan kerusi DUN Sarawak yang bertujuan menghasilkan perwakilan lebih seimbang dan adil untuk seluruh negeri, namun menegaskan proses itu tidak boleh dilihat semata-mata daripada kepentingan mana-mana parti politik.
“Kita mahu sebuah Dewan Undangan Negeri yang benar-benar mencerminkan Sarawak, termasuk suara masyarakat pedalaman, masyarakat Orang Ulu dan komuniti-komuniti yang mempunyai wilayah tradisi serta hubungan tempatan yang kukuh,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru pemilih di Belaga dan Murum mengambil peluang sepanjang tempoh pameran syor persempadanan untuk mengemukakan pandangan kepada SPR.
Menurutnya, pihaknya akan mengumpulkan pandangan masyarakat secara tersusun dan, jika memenuhi kehendak undang-undang, mengemukakan representasi daripada sekurang-kurangnya 100 pemilih bagi setiap kawasan yang berkaitan.
“Ini bukan soal parti. Ini soal hak masyarakat menentukan bagaimana mereka mahu diwakili,” katanya sambil menegaskan sempadan pilihan raya boleh berubah, namun hubungan kekeluargaan, wilayah tradisi, adat dan kebudayaan masyarakat yang terbina turun-temurun hendaklah dihormati dan dipelihara. –UTUSAN
The post Persempadanan DUN Sarawak jangan pisahkan komuniti Belaga, Murum appeared first on Utusan Malaysia.






