
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan penambahan 17 kawasan pilihan raya negeri di Sarawak serta pindaan nama melibatkan satu kawasan Parlimen dan 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Penambahan itu akan menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99, namun tiada pertambahan bilangan kawasan Parlimen dicadangkan.
Cadangan penambahan itu di bawah Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sarawak yang perlu disiapkan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun daripada tarikh notis mengenainya diwartakan.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, kajian berkenaan dilaksanakan berlandaskan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, kajian turut mengambil kira Ordinan Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang berkuat kuasa pada 8 Ogos tahun lalu.
“Notis berhubung Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri dalam Negeri Sarawak disiarkan dalam warta pada hari ini (semalam).
“Selaras dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah menyiapkan kajian semula persempadanan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh notis ini diwartakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Khairul Shahril berkata, syor kajian semula persempadanan itu dipamerkan selama sebulan bermula 1 hingga 30 September ini bagi membolehkan orang ramai membuat semakan dan mengemukakan bantahan.
Katanya, walaupun tiada perubahan terhadap jumlah kawasan Parlimen di Sarawak, terdapat kawasan pilihan raya Persekutuan yang terlibat dalam semakan semula dan tersentuh oleh syor dicadangkan.
“Kawasan pilihan raya negeri baharu yang dicadangkan ialah Jagoi, Pasir Pandak, Matang, Semarak, Tabuan Jaya, Maong, Samarindah, Sungai Serin dan Igan.
“Turut dicadangkan adalah Tanah Mas, Sungai Merah, Bukit Kemuyang, Melekun, Batu Niah, Permaisuri, Tudan dan Usun Apau,” katanya.
Sementara itu, 10 kawasan pilihan raya negeri yang dicadangkan untuk ditukar nama ialah Opar kepada Serayan, Tasik Biru kepada Singai dan Tarat kepada Bung Sadung.
Kawasan Semop pula dicadangkan ditukar kepada Muara Lassa, Jemoreng kepada Matu, Bawang Assan kepada Rassau, Jepak kepada Jepak Jaya dan Lambir kepada Pantai Beraya.
Dua lagi kawasan ialah Senadin yang dicadangkan ditukar kepada Lopeng serta Ba’kelalan kepada Gunong Murud.
Satu kawasan Parlimen turut dicadangkan untuk ditukar nama, iaitu Igan kepada Batang Lassa.
Khairul Shahril berkata, butiran syor berkenaan disiarkan melalui warta serta akhbar Utusan Borneo dan The Borneo Post.
Beliau berkata, salinan syor berserta rang pelan kawasan pilihan raya Persekutuan dan negeri turut dipamerkan untuk pemeriksaan orang ramai pada waktu pejabat dan hari bekerja di lokasi dinyatakan dalam notis.
Katanya, maklumat berkenaan juga boleh diperoleh melalui pautan https://myst.spr.gov.my/. Bantahan terhadap syor tersebut boleh dikemukakan kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas tarikh penyiaran notis. – UTUSAN
The post Syor tambahan 17 DUN Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.






