Persiapan F1 GP Bahrain: SIC ditutup 7 September ini - Taufiq

25 Aug 2026 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Persiapan F1 GP Bahrain: SIC ditutup 7 September ini - Taufiq
Mohammed Taufiq menyampaikan sumbangan replika cek RM30,000 kepada Presiden KMEK, M Hifzuddin Ikhsan (kanan).
Image from: Persiapan F1 GP Bahrain: SIC ditutup 7 September ini - Taufiq
Mohammed Taufiq melancarkan Program Semarak Cinta Rasul di Masjid Kariah Bandar Perdana.

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) akan ditutup bermula 7 September depan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih sebelum penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain pada 2 hingga 4 Oktober depan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kerja-kerja berkenaan bukan sahaja membabitkan persiapan trek, malah turut meliputi kemudahan lain termasuk tempat duduk dan tandas bagi memastikan litar berada pada tahap terbaik.

"Pada 7 September 2026, SIC akan ditutup sepenuhnya, orang luar tak boleh menyewa sebab akan ada kerja-kerja baik pulih dalam SIC.

"Kerja baik pulih pun kita nak tengok bukan sahaja trek, tetapi kerusinya, tandas dan semua elemen kerana ini mencerminkan imej negara di peringkat dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini pada Selasa.

Menurutnya, gerak kerja persiapan F1 kini sedang berlangsung menerusi tiga jawatankuasa utama iaitu induk, teknikal serta jawatankuasa kecil.

Mohammed Taufiq berkata, jawatankuasa teknikal turut bermesyuarat setiap Selasa sebelum membentangkan hasil perbincangan menerusi mesyuarat Kabinet.

"Setakat hari ini, alhamdulillah kita telah pun memeterai ataupun menandatangani perjanjian antara SIC dan Bahrain International Circuit.

"Kita telah menyetujui beberapa perkara dalam perjanjian tersebut termasuk dari segi penjualan tiket, parkir dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mahu memastikan penganjuran F1 selama tiga hari itu memberi kesan positif dan limpahan ekonomi kepada rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, penjagaan kesihatan atlet kekal menjadi keutamaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan keadaan jerebu yang melanda di beberapa kawasan ketika ini.

"Bagaimanapun ia tidak menyekat sebarang persiapan dan juga latihan untuk atlet kita, khususnya untuk berjuang dan bertanding di temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam masa terdekat ini.

"Semua persiapan telah pun dibuat dengan begitu baik, begitu rapi, dan juga kita menyasarkan untuk kali ini kita menetapkan berdasarkan warna pingat, seperti yang telah pun kita laksanakan pada temasya Sukan Komanwel yang lepas," katanya.

Terdahulu, Mohammed Taufiq turut melancarkan Program Semarak Cinta Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan di Masjid Kariah Bandar Perdana pada Selasa yang dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved