
PETALING JAYA – Seorang pempengaruh media sosial mendedahkan dia menerima ugutan bunuh selain cacian dan makian daripada warga asing ekoran tindakannya membongkar kegiatan mereka berniaga secara haram dan pengotor.
Mohammad Badrul Ridzuan Mohamad atau Awie MBR berkata, ugutan ‘potong kepala’ dan makian itu diterima sepanjang empat bulan dia aktif menghasilkan kandungan mendedahkan isu warga asing.
Katanya, dia melakukan tugasan itu selepas terkesan dengan tindakan seorang penyampai radio yang memuat naik kandungan berkaitan bangunan dihuni oleh warga asing dan pelarian Rohingya di Hulu Langat, Selangor.
“Saya bukan benci warga asing tetapi mahu masyarakat sedar mengenai hak mereka yang semakin terancam atau terhakis.
“Antara yang saya dedahkan termasuk mereka ini bebas menjalankan perniagaan tanpa lesen dan ada masanya tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Awie MBR, sebahagian pendedahannya telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tetapi tidak semua tempat yang dia bongkarkan.

Tambahnya, dia pernah membuat laporan mengenai ugutan yang diterimanya ketika mula-mula melakukan tugasan itu tetapi lama-kelamaan, ugutan yang diterima terlalu banyak dan dia tiada masa untuk ke balai polis ekoran mahu fokus kepada isu.
“Saya lihat ada juga pihak lain termasuk badan bukan kerajaan yang buat benda sama dan kalau boleh kita jangan mengambil tindakan sendiri atau mengikut emosi sehingga melanggar undang-undang,” katanya.
Ujar Awie MBR, dia dan kru sentiasa mengadakan taklimat sebelum turun padang atau lokasi dan akan berundur sekira berlaku provokasi dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
“Saya tidak galakkan orang awam ikut buat sendiri. Buat laporan polis, kumpul bukti dan tularkan untuk perhatian pihak berkuasa. Tugas menangkap dan menyita adalah hak pihak berkuasa, bukan kita,” katanya.
Beliau berharap kerajaan dan agensi penguatkuasaan termasuk imigresen serta pihak berkuasa tempatan dapat meningkatkan operasi secara berterusan di kawasan penempatan dan perniagaan terbabit bagi mengelakkan berlaku kejadian jenayah yang lebih serius.
“Antara yang menjadi semangat untuk saya melakukan tugasan sebegini ialah sokongan daripada netizen. Kita mahu tiada warga asing yang mengambil kesempatan,” katanya.
The post Pertahan hak, Awie MBR diugut bunuh appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] ‘Warga asing makin berani, dah meniaga haram boleh pula call polis’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/warga-asing-1024x538.jpeg)