amree27/08/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos — Samaiden Group Berhad berdepan cabaran mengekalkan pertumbuhan selepas mencatat prestasi yang positif bagi tahun kewangan 2026 (FY26), menurut analisis MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan berkenaan terutama apabila pelaksanaan projek tenaga solar berskala besar (LSS) semakin menjadi pemacu utama kepada pendapatan kumpulan itu.
Prestasi pada FY27 dijangka kukuh berikutan buku tempahan besar serta usaha meningkatkan kecekapan kos, di samping meneroka peluang baharu daripada LSS5+, LSS6 dan program tenaga boleh baharu (RE).
"Justeru, kami masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Samaiden dengan harga sasaran (TP) RM1.88 sesaham berdasarkan kaedah penilaian jumlah nilai bahagian (SOTP)," jelas MBSB Research.
Pada suku keempat FY26 (4QFY26), keuntungan bersih teras naik tiga kali ganda kepada RM14.3 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong kemajuan kerja projek LSS5 yang dipercepatkan.
Ujarnya, bagi keseluruhan FY26, keuntungan bersih teras kumpulan itu melonjak 81.5% kepada RM34.2 juta, mengatasi unjuran firma berkenaan sebanyak 7.2% dan anggaran konsensus kira-kira 5.4%.

Tambah MBSB Research, prestasi Samaiden itu dicapai meskipun hasil suku tahunan susut 21.6% kepada RM105.7 juta, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kira-kira 152% kepada RM21.2 juta.
"Perkembangan tersebut disokong margin kumpulan berkenaan yang lebih baik menerusi pelbagai projek baharu serta pengurusan rantaian bekalan dan kos semakin cekap berbanding sebelum itu," katanya.
Projek LSS5 yang sedang dilaksanakan dijangka terus menjadi pemacu pendapatan kumpulan itu dalam beberapa suku akan datang, sekali gus membantunya dalam mengekalkan pertumbuhan keuntungan.
Selain itu, Samaiden kini memiliki buku tempahan belum terima sebanyak RM435.8 juta, memberi keterlihatan hasil hingga FY28, dengan potensi pengisian semula daripada projek LSS5+ dan LSS6.
Sementara itu, RHB Research turut mengekalkan saranan 'beli sambil menaikkan TP kepada RM2.42 sesaham daripada RM2.11, yang membayangkan potensi kenaikan 42% serta hasil dividen 1% bagi FY27F.
"Kami percaya Samaiden akan menjadi antara penerima manfaat utama pelaksanaan LSS6, dengan andaian memperoleh kontrak sekitar RM1.5 bilion, bersamaan 10% hingga 12% bahagian pasaran," katanya.
Firma itu turut menaikkan unjuran pendapatan FY27 sebanyak 23% selepas diambil kira andaian margin lebih tinggi, selain menjangkakan hasil kukuh yang dicapai pada separuh kedua FY26 dikekalkan.
Bagaimanapun ujar RHB Research, antara risiko utama yang perlu dipantau ialah penamatan insentif solar, persaingan semakin sengit dan kos projek lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com





