sarah23/10/2026 - 09:47 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt - Peningkatan komponen Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2027 dijangka memacu perbelanjaan barangan keperluan asas, sekali gus memberi manfaat kepada rangkaian pasar raya dan peruncit harga mampu milik seperti 99 Speed Mart, Eco-Shop dan MR DIY.
RHB Research berkata, walaupun jumlah keseluruhan bantuan berulang kepada kebanyakan isi rumah kekal hampir sama, peningkatan komponen SARA berbanding Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan mengalihkan lebih banyak perbelanjaan pengguna kepada barangan keperluan asas yang layak dibeli menerusi program berkenaan.
Menurut firma penyelidikan itu, perubahan tersebut dijangka meningkatkan jualan di cawangan sedia ada, sekali gus membantu peruncit mengimbangi tekanan kenaikan kos pekerja melalui penggunaan kapasiti operasi yang lebih cekap.
"Peruntukan SARA yang lebih tinggi akan mengalihkan lebih banyak perbelanjaan kepada barangan keperluan asas yang layak, sekali gus memberi manfaat kepada rangkaian peruncitan yang mengambil bahagian," menurut RHB Research dalam nota penyelidikan sektor pengguna hari ini.
Peruntukan bantuan meningkat kepada RM16 bilion
Belanjawan 2027 memperuntukkan RM16 bilion bagi STR dan SARA berbanding RM15 bilion pada 2026, selain memperkenalkan dua pembayaran SARA sebanyak RM100 kepada orang dewasa sempena Aidilfitri dan Hari Kebangsaan tahun depan.
RHB Research berkata, peluasan penggunaan SARA kepada 216 lokasi pasar tani dan tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), serta sasaran meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil kepada 10,000 daripada 6,800 ketika ini, dijangka menggalakkan pembelian bahan makanan segar dan perbelanjaan memasak di rumah.
Perkembangan itu turut dijangka memberi manfaat kepada pengeluar barangan makanan asas seperti Nestlé (Malaysia), QL Resources, Leong Hup International dan Farm Price, susulan peningkatan permintaan terhadap produk makanan untuk kegunaan isi rumah.
Kenaikan gaji minimum beri cabaran kepada peruncit
Bagaimanapun, firma itu mengingatkan bahawa kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 akan meningkatkan kos operasi peruncit, dengan analisis sensitiviti menunjukkan kenaikan 5% dalam jumlah kos gaji boleh mengurangkan keuntungan Eco-Shop sebanyak 5.3%, 99 Speed Mart sebanyak 4.9% dan MR DIY sebanyak 3.9%, sekiranya faktor lain kekal tidak berubah.
Walaupun berdepan cabaran tersebut, RHB Research mengekalkan penarafan 'Overweight' terhadap sektor produk pengguna, disokong oleh pasaran pekerjaan yang stabil, pertumbuhan gaji dan bantuan fiskal berterusan, selain penilaian sektor yang kini berada kira-kira 1.5 sisihan piawai di bawah purata lima tahun.
Firma itu mengekalkan 99 Speed Mart, Nestlé (Malaysia), Eco-Shop, QL Resources dan Farm Fresh sebagai pilihan utama, dengan harga sasaran masing-masing RM4.02, RM130, RM1.82, RM4.50 dan RM2.49, sambil menyatakan konflik geopolitik berpanjangan, gangguan rantaian bekalan dan sentimen pengguna yang lemah sebagai risiko utama kepada prospek sektor berkenaan. - DagangNews.com






