
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) disaran membentuk sebuah ‘khemah besar’ dengan membuka ruang kerjasama lebih luas kepada parti politik yang mempunyai keserasian dengan prinsip perjuangannya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengarah Mobilisasi Amanah, Abbas Azmi berkata, pendekatan itu penting bagi menggabungkan kekuatan pelbagai parti dan memastikan kemenangan pilihan raya tidak hanya bergantung kepada satu-satu parti.
Menurut beliau, PH perlu melihat kerjasama politik dalam kerangka lebih besar dengan mengutamakan matlamat membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh.
Abbas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang berkata, antara parti yang boleh dipertimbangkan untuk berada dalam lingkungan kerjasama itu termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muda, Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta parti-parti kecil lain yang mempunyai keserasian dengan agenda PH.
“Kita tidak boleh menang bersendirian. BN sendiri ketika kuat dahulu pun perlu bekerjasama dengan MCA, MIC, Gerakan dan parti lain. Jadi konsep kerjasama itu memang sudah lama diamalkan dalam politik negara.
“Kalau ada parti yang boleh memahami konsep dan matlamat PH serta mahu bekerja bersama untuk membina kekuatan, kenapa tidak?” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu sebuah portal melaporkan, PH sukar mencari rakan politik yang mampu menggantikan nilai BN terutama dalam menarik sokongan pengundi Melayu.
Menurut Abbas, pengalaman PH 1.0 turut membuktikan kerjasama antara parti mampu menghasilkan kekuatan politik yang lebih besar, khususnya dalam menembusi kawasan yang sebelum ini sukar dimenangi.
“Ketika PH 1.0, kerjasama dengan bersatu membawa kepada kemenangan besar PH di Selangor, manakala dalam PRN lalu, kerjasama dengan BN pula menyaksikan Amanah sanggup mengurangkan jumlah kerusi yang ditandingi bagi memberi ruang kepada rakan gabungan,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman kerjasama PH dan BN sejak PRU15 sememangnya memberikan manfaat tertentu, namun perkembangan politik terkini menimbulkan persoalan terhadap hala tuju hubungan antara kedua-dua gabungan itu.
“Pada awalnya hubungan PH dan BN di Selangor sangat baik. Kita sendiri memberi ruang kepada UMNO untuk bertanding di beberapa kerusi dan hasilnya mereka berjaya memenangi kerusi berkenaan.
“Namun apabila berlaku kerjasama tidak rasmi BN dengan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan serta beberapa perkembangan politik lain, ia sedikit sebanyak mengguris hati penyokong dan pendukung PH,” katanya.
Abbas berkata, keadaan itu turut mewujudkan ketidaktentuan politik apabila parti yang berada dalam kerajaan dilihat menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang.
“Agak pelik apabila parti kerajaan bekerjasama dengan parti pembangkang. Ketidaktentuan politik seperti ini boleh memberi kesan kepada kestabilan politik, ekonomi dan pentadbiran negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan kerjasama dengan Bersatu berpotensi memberikan nilai tambah kepada PH berdasarkan pengalaman kedua-dua pihak membentuk kerjasama politik sebelum ini.
“Kalau khemah besar itu melibatkan Bersatu, saya kira ia memang memberi nilai kepada kekuatan PH.
“Berbanding BN, kita melihat terdapat pelbagai isu besar yang terpalit dengan UMNO dan BN, khususnya berkaitan integriti dan rasuah,” katanya. –UTUSAN
The post PH perlu ‘khemah besar’ dengan parti lain appeared first on Utusan Malaysia.






