
PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) memperluas portfolio aset perindustriannya menerusi pemerolehan sebuah kompleks logistik komersial di Bayan Lepas Waterfront, Pulau Pinang bernilai kira-kira RM300 juta daripada Titijaya Land Berhad (Titijaya).
Pemerolehan hartanah daripada anak syarikat milik penuh tidak langsung Titijaya, Aman Duta Sdn. Bhd. itu bertujuan memperkukuh aliran pendapatan syarikat serta menambah baik daya tahan portfolionya secara berterusan.
Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata, pemerolehan tersebut mengukuhkan kedudukan PHB dalam sektor logistik dan perindustrian di Pulau Pinang yang merupakan antara hab perindustrian utama negara.
“Pemerolehan ini menawarkan potensi pendapatan jangka panjang yang disokong oleh penyewa berkualiti serta struktur pajakan yang stabil bagi meningkatkan prestasi portfolio syarikat.
“PHB akan terus meneroka peluang pelaburan strategik bagi menjana pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB),” katanya dalam kenyataan.
Kompleks logistik tiga tingkat yang dikenali sebagai Penang Logistics Hub 5 itu siap dibina pada tahun 2024 di atas tanah pegangan pajakan seluas kira-kira 28,562.8 meter persegi di Daerah Barat Daya.
Aset berkenaan kini disewakan sepenuhnya kepada penyewa berkualiti, DHL Properties (Malaysia) Sdn. Bhd., sekali gus menyediakan sumber pendapatan sewaan yang stabil dan berjangka panjang kepada PHB.
Langkah strategik itu menyaksikan sumbangan aset perindustrian meningkat kepada kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan portfolio hartanah pelaburan PHB, selari dengan strategi kepelbagaian portfolionya.
Kompleks berkenaan turut dilengkapi dengan teknologi Automated Storage and Retrieval System (ASRS), iaitu sistem penyimpanan dan pengambilan barangan secara automatik yang mampu mengoptimumkan kecekapan operasi serta kapasiti penyimpanan.
Tambahnya, transaksi berkenaan turut menyokong Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) dalam memperluas penyertaan Bumiputera dalam sektor hartanah serta pengumpulan kekayaan jangka panjang.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad, Datuk Lim Poh Yit berkata, transaksi tersebut mencerminkan pendekatan proaktif syarikat dalam mengurus portfolio hartanah dan merealisasikan nilai asetnya.
“Kami kekal memberi tumpuan kepada perniagaan teras pembangunan hartanah sambil terus meneroka peluang yang menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan dan mewujudkan nilai mampan kepada pihak berkepentingan,” katanya.
Untuk rekod, PHB merupakan syarikat pegangan pelaburan milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), manakala AHB ialah dana unit amanah patuh syariah yang melabur terutamanya dalam hartanah komersial penjana pendapatan di lokasi strategik seluruh negara. – UTUSAN
The post PHB peroleh kompleks logistik RM300 juta di Pulau Pinang appeared first on Utusan Malaysia.






