
Pemain muda Harimau Malaya Muhammad Alif Ahmad menjadikan kecaman penyokong sebagai pembakar semangat untuk tampil lebih mantap di Piala ASEAN 2026.
KUALA LUMPUR: Pemain muda Harimau Malaya Muhammad Alif Ahmad menjadikan kecaman penyokong sebagai pembakar semangat untuk meningkatkan prestasinya pada Kejohanan Bola Sepak Piala ASEAN 2026.
Pemain Johor Darul Ta’zim II (JDTII) itu bagaimanapun mengakui tertekan ketika tampil kali pertama dalam skuad senior, namun menjadikan pengalaman itu sebagai motivasi untuk tampil lebih positif pada perlawanan akan datang.
“Kecaman itu saya anggap sebagai pembakar semangat. Sejak awal permainan, saya rasa tekanan kerana ini kali pertama saya bermain dengan pasukan senior.
“Alhamdulillah, dalam perlawanan berikutnya saya rasa lebih baik berbanding aksi pertama,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di sini hari ini.
Beraksi dalam Liga A1, pemain berusia 23 tahun itu tidak pernah menjangka mendapat peluang bersama skuad senior, apatah lagi pada kejohanan berprestij di Asia Tenggara.
“Daripada A1 saya terus ke skuad senior, saya pun tidak menjangka tiba-tiba dapat bermain bersama skuad senior. Apabila sudah dipanggil, ini rezeki saya.
“Sejujurnya, berada di sini dan bermain dengan skuad senior memang satu daripada impian saya. Saya juga mendapat banyak minit permainan,” katanya.
Muhammad Alif ketika mengulas persediaan menghadapi Vietnam berkata segala persiapan pasukan berjalan lancar dan beliau bersedia memikul tanggungjawab lebih besar sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi.
Beliau turut mengakui peranan kapten Harimau Malaya Paulo Josue yang membantunya menyesuaikan diri dengan sering memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada pemain muda.
Malaysia dijadualkan bertemu juara bertahan Vietnam pada aksi timbal balik separuh akhir Piala ASEAN 2026, Ahad ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum bertandang ke tempat lawan pada Rabu depan.






