Piala FA: Sabah FC ikat Selangor FC 2-2 di Likas

FootballSports
2 Sep 2026 • 11:06 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Piala FA: Sabah FC ikat Selangor FC 2-2 di Likas

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Sabah FC bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk mengikat Selangor FC 2-2 pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA 2026-2027 di Stadium Likas, di sini malam ini, sekali gus memastikan perebutan tiket ke suku akhir masih terbuka.

Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi pertahanan Dane James Ingham, namun kelebihan itu hanya bertahan tiga minit apabila penyerang Selangor, Kay Sheku Tejan menyamakan kedudukan.

Selangor kemudian tampil lebih garang pada babak kedua dan kembali mendahului pada minit ke-50 menerusi percubaan ketua pasukan Chrigor Moraes yang gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, Juan Flere.

Bagaimanapun, Sabah kendalian Juan Torres Garrido enggan mengalah apabila pemain tengah Abdul Halim Saari meledak gol penyamaan pada minit ke-58.

Kedua-dua pasukan terus memburu gol kemenangan selepas itu, namun kedudukan 2-2 kekal hingga wisel penamat, sekali gus menjadikan aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 9 Sept ini sebagai penentu slot ke suku akhir.

Di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada Penang FC.

Gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan Faith Friday Obilor pada minit ke-23, dan kedudukan 1-0 kekal sehingga penghujung perlawanan sebelum Melaka dianugerahkan sepakan penalti pada masa tambahan babak kedua.

Bagaimanapun, Melaka gagal memanfaatkan peluang berkenaan apabila sepakan Kpah Sherman berjaya diselamatkan penjaga gol Penang, Khairul Azhan Khalid, sekali gus memastikan kemenangan pasukan pelawat.

Sementara itu, pasukan Liga Semi-Pro A1, Kelantan City FC membawa bekalan selesa ke aksi timbal balik selepas mengejutkan Negeri Sembilan FC 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Ahmad Nazri Muhamad membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada minit ketujuh sebelum penyerang gantian Emmanuel Ikechukwu melengkapkan kemenangan tuan rumah pada minit ke-84.

Dalam pada itu, satu lagi pasukan Liga Semi-Pro A1, Kedah, bangkit mengikat Star City 2-2 dalam pertemuan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pasukan tuan rumah bimbingan Akmal Rizal Ahmad Rakhli mendahului menerusi sepakan penalti Anthony Arthur pada minit ke-42 selepas beliau dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Star City bangkit menyamakan kedudukan menerusi Douglas Felisbino De Oliveira pada minit ke-78 sebelum Pedro Henrique Oliveira Da Silva meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-87.

Namun, Kedah berjaya mengelak daripada mencatat kekalahan di hadapan penyokong sendiri apabila Muhammad Zhafir Mohd Yusoff menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-90.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved