
PETALING JAYA: Kuala Lumpur (KL) City FC hanya mampu membawa pulang kelebihan tipis menjelang aksi timbal balik Piala FA selepas menewaskan Perak FA 1-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, petang tadi.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila skuad kendalian Datuk Dollah Salleh terpaksa menunggu sehingga lima minit terakhir perlawanan untuk memecahkan benteng kental pasukan Liga A1 Semi-Pro tersebut.
Skuad The City Boys turut berdepan kesukaran mencari gol meskipun menikmati kelebihan bermain lebih seorang pemain hampir setengah jam selepas Perak FA kehilangan Muhammad Firdaus Ahmad Fuad yang dilayangkan kad merah pada minit ke-60.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Perak FA mempamerkan semangat juang tinggi dan disiplin bertahan yang mengagumkan apabila berjaya mengekang segala percubaan pelawat sepanjang sebahagian besar perlawanan.
Ketumpulan jentera serangan KL City menyebabkan pasukan itu gagal memanfaatkan beberapa peluang yang dicipta, sekali gus memberi keyakinan kepada tuan rumah untuk mempertahankan keputusan seri tanpa jaringan.
Usaha keras Perak FA akhirnya berkecai ketika perlawanan memasuki minit ke-85 apabila Nik Umar Nik Azizi didapati menjatuhkan Muhamad Baqiuddin di dalam kawasan penalti.
Pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti dan peluang itu mudah dimanfaatkan Paulo Josue untuk menyempurnakan sepakan tersebut.
Walaupun tewas, Perak FA masih mempunyai alasan untuk berbangga dengan persembahan yang dipamerkan apabila berjaya memberikan tentangan sengit kepada salah satu pasukan Liga Super.
Kekalahan tipis itu memastikan peluang mereka untuk melakar kejutan masih terbuka menjelang aksi kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 9 September depan.-UTUSAN
The post Piala FA: Sepakan penalti bantu KL City tewaskan Perak FA appeared first on Utusan Malaysia.






