Piala FA: KRW FC, Kuching City sama ‘liat’

1 Sep 2026 • 11:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Piala FA: KRW FC, Kuching City sama ‘liat’

KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar terikat 0-0 dengan Kuching City FC dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, tuan rumah hampir memecah kebuntuan seawal minit ke-19 menerusi Mohd. Faiz Nasir, namun percubaannya sedikit tersasar walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol Kuching City, Mohd. Shahril Saari.

Kedua-dua pasukan tampil agresif memburu jaringan, namun ketumpulan penyudah terus menjadi penghalang apabila deretan peluang yang terhidang gagal diterjemahkan kepada gol menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, KRW FC dan Kuching City terus buntu mendapatkan jaringan apabila deretan peluang yang dimiliki gagal dimanfaatkan, meskipun kedua-duanya memperagakan beberapa gerakan menarik.

Kuching City kemudian memperoleh peluang terbaik untuk memecah kebuntuan apabila dihadiahkan sepakan percuma berhampiran kotak penalti tuan rumah, namun sepakan
Wanja Ronald Ngah pada minit ke-80 tertampan benteng pertahanan KRW FC.

Memasuki minit-minit akhir perlawanan, kedua-dua pasukan terus mengerah segenap tenaga untuk melancarkan serangan ke kubu masing-masing dalam usaha mendapatkan gol pembukaan namun terus dihantui ketumpulan penyudah.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 0-0 untuk dibawa ke perlawanan timbal balas kedua untuk pusingan 16 pasukan selepas ini.-UTUSAN

The post Piala FA: KRW FC, Kuching City sama ‘liat’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved