
KOTA BHARU – Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan dengan Kuching City FC pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, tuan rumah hampir memecah kebuntuan seawal minit ke-19 menerusi Mohd. Faiz Nasir, namun percubaannya sedikit tersasar walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol Kuching City, Mohd. Shahril Saari.
Kedua-dua pasukan tampil agresif memburu jaringan, sebaliknya ketumpulan penyudah terus menjadi penghalang apabila deretan peluang yang terhidang gagal diterjemahkan dengan jaringan.
Bersambung babak kedua, KRW FC dan Kuching City terus buntu mendapatkan jaringan, meskipun kedua-dua pasukan memperagakan beberapa gerakan menarik.
Kuching City kemudian memperoleh peluang terbaik untuk memecah kebuntuan apabila dihadiahkan sepakan percuma berhampiran kotak penalti tuan rumah pada minit ke-79.
Sebaliknya, sepakan yang diambil Ronald Ngah Wanja pada minit ke-80 itu tertampan pertahanan KRW FC sebelum bola dikeluarkan dari kawasan berbahaya.
Memasuki minit-minit akhir perlawanan, kedua-dua pasukan mengerah segenap tenaga untuk melancarkan serangan ke kubu lawan tetapi aspek penyudah terus menghadirkan kekecewaan. – KOSMO! ONLINE
The post Piala FA: KRW FC, Kuching City terikat tanpa jaringan appeared first on Kosmo Digital.






