PJ, Ampang tak ikut Wong Chen

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PJ, Ampang tak ikut Wong Chen

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail tidak mengikut jejak langkah bekas Ahli Parlimen Su­bang, Wong Chen apabila memilih untuk kekal sebagai wakil rakyat, meskipun berdepan isu sekatan akses portal MyKhas.

Mereka yang turut dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli itu menegaskan, akan terus menjalankan tanggungjawab kepada pengundi masing-masing.

Chean Chung berkata, beliau akan terus menunggu penjelasan kerajaan berhubung tindakan menyekat aksesnya terhadap portal MyKhas yang digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan Parlimen Petaling Jaya.

“Pada saya, semua pihak perlu lebih profesional dan sepatutnya memberikan respons terhadap surat yang saya kemukakan. Tetapi sehingga hari ini saya belum mendapat maklum balas.

“Mereka (kerajaan) perlu ingat, saya dipilih rakyat dan peruntukan sebagai ahli Parlimen tidak boleh dinafikan. Jadi saya akan terus tunggu respons daripada kerajaan selepas saya menghantar surat kira-kira dua minggu lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Subang atas alasan akses MyKhas disekat dan ia dibuat atas keputusan sendiri tanpa berbincang dengan ahli Parlimen lain.

Chean Chung turut mempersoalkan sama ada sekatan itu mempunyai kaitan dengan dakwaan dirinya berada dalam kem Mohd. Rafizi.

Beliau turut mempersoalkan mengapa peruntukan kepada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) masih diteruskan sedangkan gabungan itu menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

“UMNO bersama kerajaan di peringkat Persekutuan tetapi melawan PH dalam PRN Negeri Sembilan dan Johor pun masih diberi peruntukan, tetapi saya yang wakil rakyat mereka sendiri pula disekat peruntukannya,” katanya.

Katanya, beliau juga masih menunggu tindakan selanjutnya daripada Lembaga Disiplin PKR berhubung kehadirannya pada Majlis Pelancaran Parti Bersama Malaysia (Bersama).

“Saya telah menghantar maklum balas yang diminta Lembaga Disiplin PKR pada 8 Julai lalu. Namun, sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Sehingga kini saya masih kekal sebagai Ahli Parlimen Pe­taling Jaya. Adakah PKR akan mengenakan tindakan tatatertib terhadap saya? Itu tanggungjawab mereka,” katanya.

Sementara itu, Rodziah berkata, beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang dan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melepaskan jawatan dalam masa terdekat.

Katanya, keputusan untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat dibuat selepas mengambil kira tanggungjawabnya kepada pengundi di kawasan berkenaan.

Ditanya sama ada akan terus berkhidmat sehingga Parlimen dibubarkan, Rodziah berkata, sebarang keputusan mengenai kedudukannya akan dibuat berdasarkan perkembangan semasa dan pertimbangan sewajarnya.

“Buat masa ini saya kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang,” katanya. – UTUSAN

The post PJ, Ampang tak ikut Wong Chen appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved