PMIUM serah memorandum cegah unsur hedonisme dalam minggu orientasi UM

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 7:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PMIUM serah memorandum cegah unsur hedonisme dalam minggu orientasi UM
Memorandum tersebut diserahkan pada jam 2.30 petang di Kompleks Perdana Siswa UM dan diterima oleh Pejabat HEP Universiti Malaya.

KUALA LUMPUR - Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyerahkan memorandum berhubung pematuhan garis panduan dan pencegahan unsur hedonisme dalam pelaksanaan Minggu Haluan Siswa (MHS) institusi berkenaan.

Presidennya, Muhammad ‘Adni Mohmad Nasrudin berkata, pelaksanaan MHS perlu menepati garis panduan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di samping menjaga prinsip moral, sensitiviti keagamaan serta adab yang sewajarnya.

Menurutnya, terdapat maklum balas berhubung kelonggaran dari aspek kawalan etika, penjagaan waktu ibadah dan penyusunan slot hiburan dalam program orientasi terdahulu.

Muhammad 'Adni berpandangan, MHS sepatutnya menjadi medan pemerkasaan intelek, adaptasi akademik dan pembentukan sahsiah mahasiswa baharu, bukannya dipenuhi sorakan melampau, muzik berterusan, persembahan tidak berhemah atau pengabaian batas pergaulan.

"Antara tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum adalah kawalan ketat terhadap slot hiburan, penjagaan batas pergaulan lelaki dan perempuan, disiplin waktu solat serta kebajikan mahasiswa oleh Pemudahcara Mahasiswa (PM) termasuk urus setia MHS.

"Selain itu, memorandum turut mencadangkan pelaksanaan taklimat khas berkaitan etika kepada PM dan urus setia, penugasan pegawai pemantau daripada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) di lokasi program serta penyediaan saluran aduan bagi mahasiswa baharu.

"Pihak mahasiswa turut menuntut komitmen UM untuk memperkemaskan prosedur dan garis panduan penganjuran program yang benar-benar direalisasikan, bukan terhenti pada kenyataan semata-mata," katanya pada Jumaat.

Memorandum tersebut diserahkan pada jam 2.30 petang di Kompleks Perdana Siswa UM dan diterima oleh Pejabat HEP universiti.

Ia turut mendapat sokongan daripada Neo Siswa Universiti Malaya, Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAUM), Rakan Siswa YADIM Universiti Malaya (RSYUM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Universiti Malaya (PKPIMUM) dan Persatuan Belia Islam Nasional Universiti Malaya (Pembina UM).

Tambah Muhammad ‘Adni, penyerahan memorandum tersebut diharap dapat menjadi satu langkah konstruktif dalam memastikan pelaksanaan MHS berlangsung secara berhemah, berintegriti serta mengambil kira aspek akademik, kebajikan, adab dan sensitiviti mahasiswa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved