
PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) tiada hak menghalang Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kesediaan PN untuk meneruskan kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka sebelum ini mendapat maklum balas sangat baik.
“PN telah menyatakan kesediaan untuk meneruskan kerjasama dengan BN dalam PRN Melaka dan respons sangat baik.
“Bagaimanapun, PN tiada hak menghalang mana-mana parti untuk mengadakan perbincangan. Ia terpulang kepada BN,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 8 Ogos lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN masih membuka ruang rundingan berhubung agihan, malah pertukaran kerusi bagi menghadapi PRN Melaka sekiranya ia dilakukan secara jujur dan ikhlas serta tidak menjejaskan jumlah kerusi parti masing-masing.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, setakat ini Pas belum dimaklumkan oleh Jawatankuasa Perunding mengenai sebarang perkembangan bagi menghadapi PRN Melaka dan perkara itu dijangka diadakan dalam masa terdekat.
“Buat masa ini parti memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi muktamar yang akan diadakan pada awal September di Kota Bharu,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, tarikh mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN setakat ini masih belum diputuskan.
Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik, Tuan Ibrahim berkata, semua parti politik malah rakyat perlu diberikan penjelasan tentang apa juga yang terkandung di dalamnya.
Beliau berkata, Pas dan PN secara prinsipnya menyokong RUU berkenaan namun ketika ini masih mengambil pendekatan menunggu pembentangan RUU itu kelak supaya ia dapat diteliti terlebih dahulu.
“Walaupun secara asas kami juga menyokong RUU tersebut namun sehingga kini kerajaan masih gagal membentangkannya.
“Kerajaan tidak perlu menyalahkan parti politik akibat kegagalan mereka sendiri,” katanya.
The post PN tidak halang BN berunding dengan mana-mana parti appeared first on Utusan Malaysia.






