MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, perhatian kini tertumpu kepada keputusan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan hala tuju politiknya, sama ada memilih untuk bergerak solo atau membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).
Tiga kemungkinan itu semakin menjadi perbualan politik apabila BN Melaka sendiri masih membuka ruang rundingan dengan mana-mana pihak.
Namun pada masa sama tidak memberikan jaminan bahawa rundingan tersebut akan berakhir dengan pembentukan sebuah kerjasama politik.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini memberi gambaran bahawa rundingan boleh dilakukan, tetapi keputusan akhirnya tetap bergantung kepada pertimbangan kepimpinan parti, sekali gus menunjukkan pintu rundingan terbuka tetapi belum tentu ada kesepakatan.
Situasi itu meletakkan BN Melaka dalam kedudukan yang cukup menarik kerana tekanan datang dari pelbagai arah, termasuk kelompok yang mahu BN bergerak sendiri dan kelompok yang melihat kerjasama sebagai strategi lebih selamat untuk mempertahankan pentadbiran negeri.
Jika dilihat pada sentimen akar umbi, terdapat suara yang kurang senang sekiranya BN memilih untuk bekerjasama dengan PH.
Namun dalam politik, sentimen semata-mata tidak mencukupi untuk menentukan strategi pilihan raya kerana kepimpinan parti perlu mengambil kira angka, kekuatan jentera, pembahagian kerusi, calon serta peluang kemenangan di setiap kawasan.
Kerjasama dengan PN juga mempunyai kira-kira politiknya tersendiri kerana BN perlu memastikan sebarang persefahaman benar-benar memberi nilai tambah kepada parti dan bukannya menyebabkan BN kehilangan ruang untuk membina semula kekuatannya.
Begitu juga dengan pilihan untuk bergerak solo, keputusan itu memerlukan BN benar-benar yakin bahawa kekuatan parti sudah cukup untuk berdepan semua lawan tanpa bergantung kepada mana-mana rakan politik.
Apa yang perlu dielakkan ialah membuat keputusan hanya kerana tekanan daripada mana-mana pihak, sama ada tekanan akar umbi, pimpinan negeri atau rakan politik.
Ini kerana kesilapan percaturan boleh memberi kesan bukan sahaja kepada PRN Melaka tetapi juga landskap BN menuju Pilihan Raya Umum ( PRU) akan datang.
Dalam keadaan ini, keputusan MKT UMNO pada 28 Ogos menjadi antara detik paling dinanti apabila Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan hala tuju politik Melaka antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
Tarikh berkenaan mungkin menjadi titik penting kepada BN untuk memperincikan langkah seterusnya, namun tidak mustahil keputusan akhir masih memerlukan proses rundingan dan penelitian lebih lanjut sebelum sebarang formula diumumkan secara rasmi.
Akhirnya, semua pihak mempunyai pandangan masing-masing mengenai siapa patut menjadi rakan BN atau sama ada BN perlu bergerak solo.
Tetapi buat masa ini biarlah kepimpinan parti membuat perhitungan dengan teliti kerana selepas segala rundingan, tekanan dan percaturan politik berlaku, sama-sama tunggu dan lihat apakah keputusan BN.






