
KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan dasar solat Jumaat bagi pekerja lelaki yang beragama Islam sudah pun dilaksanakan di Terengganu sejak 2015 seperti mana diluluskan hasil pertemuan kerajaan negeri dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, justeru beliau mengecam kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mendakwa dasar tersebut bersifat prejudis tanpa memahami latar belakang serta tujuan ia dilaksanakan.
“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. DAP perlu mengajar pimpinan mereka pepatah ini kerana kenyataan tersebut bersifat prejudis terhadap Terengganu tanpa memahami asas warta ini dilaksanakan.
“Untuk makluman Ahli Parlimen Kota Melaka, polisi itu diluluskan dan berjalan sejak 2015 hasil persetujuan kerajaan bersama MAIDAM bagi memberi ruang kepada semua rakyat Terengganu lelaki Muslim, termasuk pekerja beragama Islam, untuk menunaikan solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka membangkitkan kebimbangan mengenai arahan penutupan premis antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap hari Jumaat.
Beliau mendakwa pelaksanaan peraturan secara menyeluruh boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.
Beliau berkata, solat Jumaat merupakan kewajipan bagi lelaki Islam yang memenuhi syarat syarak, justeru pelaksanaan dasar berkenaan bertujuan memberikan ruang kepada mereka menunaikan tuntutan agama.
Tengku Haphiz berkata, Poay Tiong juga dilihat membuat tuduhan secara semberono, sedangkan dasar berkenaan diperkenalkan ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) menerajui Terengganu.
Katanya, dasar itu diteruskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana bersesuaian dengan budaya dan kehidupan masyarakat di negeri ini.
“Sepanjang dasar ini dilaksanakan, tidak pernah ada kenyataan daripada mana-mana masyarakat bukan Islam di Terengganu yang mempertikaikannya seperti dilakukan Ahli Parlimen DAP itu,” tegasnya. – UTUSAN
The post Poay Tiong dikecam selepas kritik dasar solat Jumaat di Terengganu appeared first on Utusan Malaysia.






